Bukit Aman selesai rakam keterangan Anwar

0
3

POLIS mengesahkan sudah selesai merakam percakapan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes rakaman audio perbualan antara dua individu mirip Presiden PKR itu dan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegentaran awam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian setelah memperoleh perintah untuk menyiasat mengikut peruntukan Seksyen 108 (2) Kanun Tatacara Jenayah daripada Pendakwa Raya.

“Rakaman audio berdurasi empat minit 17 saat itu, perbualan di antara dua individu yang didakwa mirip suara Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mula tular di beberapa laman sosial dan rangkaian telekomunikasi sejak awal April.

“Rakaman ini sudah mencetuskan kebimbangan dan kegentaran kepada awam yang kemudiannya tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Huzir berkata, siasatan dibuat berikutan 18 laporan polis yang diterima daripada 17 wakil politik dan seorang individu awam.

Laporan berkenaan mendesak supaya siasatan dijalankan bagi menentukan kesahihan atau mungkin terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab memalsukan rakaman audio berkenaan dengan tujuan untuk mencetuskan kegentaran awam dan mewujudkan perasaan tidak harmoni antara dua parti politik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here