Denda RM60,000 terhadap Neelofa, keluarga undang lagi kemarahan rakyat – Najib

0
2

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berpendapat denda RM60,000 dikeluarkan kerajaan kepada selebriti popular, Neelofa dan keluarganya hanya akan mengundang kemarahan rakyat.

Ini kerana katanya, pada ketika sama ramai sedang kemurungan disebabkan kerajaan tidak berjaya kawal Covid-19 dengan Darurat dan akibatnya tidak benarkan orang ramai rentas negeri untuk balik raya.

“Kemarahan juga bertambah setelah berita peniaga burger dikompaun RM50,000 terkeluar semalam.

“Patut diperbetulkan dan diselaraskan kerajaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Najib bagaimanapun berkata secara peribadi beliau kagum dengan bakat dan kejayaan keusahawanan Neelofa.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan Neelofa dan ahli keluarganya termasuk suaminya, Haris Ismail atau PU Riz dikompaun RM60,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

Kompaun yang tidak dibenarkan diskaun itu selepas pihak berkuasa mendapati selebriti berkenaan melakukan dua kesalahan manakala PU Riz satu kesalahan.

Kesalahan pertama Neelofa selaku penganjur gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai pematuhan SOP penganjuran majlis sosial apabila gagal memastikan wujud penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah mereka berlangsung.

Pasangan itu juga melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa di bawah subperaturan 4 (2) (d) Peraturan-Peraturan sama, memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran polis.

Haris dikompaun RM10,000 kerana melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai polis.

Sementara itu, 20 ahli keluarga pasangan itu dikenakan kompaun RM1,500 seorang kerana gagal menjaga penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter semasa majlis akad nikah berlangsung. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here