Kerajaan terbuka terima kritikan, namun bukan berunsur hasutan – Saifuddin

0
1

DAKWAAN bahawa kerajaan mengekang pengkritik daripada bersuara adalah tidak benar sama sekali, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata kebebasan bersuara adalah prinsip asas yang penting dalam masyarakat dan amalan demokrasi di negara ini.

Sehubungan itu katanya, kerajaan dengan jelas menegakkan hak kebebasan bersuara sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menjelaskan, terdapat kritikan dalam pelbagai bentuk seperti karya satira dan penulisan yang berunsur kritikan terhadap kerajaan, namun tidak diambil tindakan selama ini.

“Malah, kritikan seperti ini turut dilapor media secara amnya dan dikongsi dalam media sosial tanpa halangan daripada kerajaan.

“Kerajaan juga menerima kritikan secara terbuka dan mengambil berat akan kritikan yang menjurus ke arah kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Namun, kebebasan bersuara ini sama sekali bukan bererti membenarkan pandangan atau hujah berunsur hasutan yang sengaja mencetuskan kekecohan dan penghinaan, apatah lagi menghina Institusi Raja seperti dalam dakwaan beberapa kes baru-baru ini,” katanya menerusi kenyataan.

Saifuddin berkata, semua pihak harus membezakan antara kritikan dan penghinaan, selain tidak mengetepikan tanggungjawab sosial dalam masyarakat.

“Etika dan kematangan dalam mengemukakan pandangan dan hujah harus diamalkan oleh kita semua agar bersesuaian demi kepentingan serta kemaslahatan ummah.

“Matlamat komunikasi ummah ini bermaksud menggunakan kebijaksanaan dalam tatacara berkomunikasi untuk memberi pengajaran yang baik, menegur dan mengkritik dengan berhemah serta beradab walaupun berbeza pendapat.

“Saya menyeru agar kita semua mendokong prinsip penyatuan dan saling menghormati demi mengekalkan keharmonian serta suasana muhibbah dalam masyarakat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan pereka grafik Fahmi Reza Mohd Zarin direman sehari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menghina Raja Permaisuri Agong, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Penahanan reman Fahmi Reza pada Sabtu lalu susulan satu laporan polis berkaitan isu hantaran menggunakan akaun Facebook Fahmi Reza yang didapati menghina Raja Permaisuri Agong.

Semalam Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan supaya segera menghentikan penggunaan akta-akta lapuk yang menyekat kebebasan bersuara serta kritikan dan pendapat yang berbeza.

Beliau berkata tindakan yang diambil terhadap aktivis seperti Fahmi Reza dan Mukmin Nantang oleh pihak berkuasa adalah usaha melampau dalam menekan kebebasan bersuara dan bereskpresi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here