Polis Sarawak siasat anggota trafik tendang penunggang motosikal

0
2

Polis Sarawak menjalankan siasatan terhadap anggota cawangan trafik susulan video tular menunjukkan anggota terbabit menendang seorang penunggang motosikal hingga jatuh di Jalan Temple di Sibu, hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata kejadian itu dirakam oleh orang awam semasa sepasukan anggota trafik membuat pemeriksaan mengejut ‘Op Motosikal’ sekitar jam 12.15 tengah hari.

Menurutnya, rakaman tersebut jelas menunjukkan seorang anggota trafik menendang penunggang motosikal yang cuba membuat pusingan ‘u’ secara tiba-tiba.

“Setakat ini kita masih menjalankan siasatan dan tindakan tegas akan diambil ke atas anggota terbabit sekiranya dia didapati cuai atau bertindak agresif semasa menjalankan tugas,” katanya seperti dilaporkan Utusan Borneo.

Aidi berkata, pemeriksaan mendapati penunggang motosikal tersebut menunggang tanpa lesen dan cukai jalan motosikal telah tamat tempoh.

“Selain itu, penunggang motosikal juga akan disaman kerana menunggang melawan arus dan ubah suai ekzos,” katanya. – MalaysiaPost