Ahli keluarga Nora Anne minta polis siasat tiga rumah – saksi

0
1

KELUARGA remaja Ireland-Perancis, Nora Anne yang dijumpai mati pernah memaklumkan kepada pihak polis sehari selepas kehilangan remaja tersebut, yang mereka mengesyaki anak mereka diculik.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, saksi prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Nora Anne, memaklumkan kenyataan tersebut di Mahkamah Koroner, Kompleks Mahkamah Seremban hari ini.

Menurutnya, keluarga remaja tersebut meminta polis membuat pemeriksaan ke atas tiga rumah di luar kawasan The Dusun Resort di Pantai, Seremban yang dikatakan mungkin lokasi mangsa berada.

“Ahli keluarga Nora Anne memberi maklumat dan menjangkakan anak mereka yang hilang berada di kawasan sekitar.

“Saya memberi harapan bahawa saya akan penuhi permintaan keluarga berkenaan dengan pencarian di tiga rumah di kawasan sekitar seperti yang diminta ahli keluarga.

“Saya telah minta pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Daerah Nilai untuk membuat pencarian di tiga rumah itu,” katanya dalam keterangan pada inkues berkenaan yang memasuki hari kedua, seperti dilaporkan Bernama hari ini.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad mengapa pemeriksaan hanya spesifik kepada tiga rumah, beliau menjawab ia seperti yang diminta oleh keluarga remaja itu.

Menurut Mohd Nor Marzukee lagi, usaha mencari remaja istimewa tersebut tidak terhenti di situ, tetapi ditambah menerusi pencarian melibatkan dua pasukan merangkumi kawasan seluas 4.86 hektar di sekitar kawasan resort selain sekatan jalan raya.

“Saya dimaklumkan oleh keluarga bahawa remaja yang hilang itu tak boleh berjalan lebih 20 kaki (enam meter). Saya beranggapan kawasan pencarian 12 ekar adalah memadai dengan maklumat yang saya dapati.

“Selain itu, memandangkan keadaan fizikal dan tahap pemikiran mangsa seperti kanak-kanak berumur 7 tahun, saya ambil inisiatif buat sekatan jalan raya dengan andaian mangsa mungkin menahan atau menumpang kenderaan atau motosikal keluar dari kawasan,” katanya.

Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa operasi mencari Nora Anne dilakukan sejurus remaja berkenaan dilaporkan hilang pada 4 Ogos 2019.

Tambahnya lagi, operasi tersebut merangkumi peringkat awal pencarian melibatkan kawasan sekitar villa penginapan mangsa dan keluarga.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Maimoonah Aid tarsebut dijadualkan berlangsung selama dua minggu bermula semalam hingga 28 Ogos dan bersambung semula pada 1 hingga 4 September ini.

Sepanjang prosiding berlangsung, seramai 64 saksi akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Nora Anne, 15, dilaporkan hilang sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan.

Mayat remaja tersebut dijumpai selepas sembilan hari kehilangannya, berhampiran anak sungai kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya. – Malaysia Post