Hina sistem Beraja: Kebebasan bersuara ada sempadannya – Ulama PAS

0
3

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) melahirkan kebimbangan apabila segala bentuk penghinaan kepada Sistem Beraja pada hari ini dipertahankan dan disokong atas alasan hak kebebasan bersuara.

Ketuanya, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata hak kebebasan bersuara ada sempadannya, biar berdisiplin dan usah menjadi kurang ajar.

“Islam memberikan hak kebebasan namun Islam jua menetapkan sempadannya iaitu pada perkara baik dan kebajikan sahaja.

“Kita berpijak di bumi yang realitinya telah menjadi darah daging terhadap penerimaan dan pengamalan Sistem Beraja ini dan ia mempunyai kaitan sangat dekat dengan bidang kuasa Islam yang diperuntukan.

“Maka semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama perlu patuh kerana ia terkandung dalam peruntukan Perlembagaan bawah Fasal (2), (3) dan (5) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Nik Muhammad Zawawi berkata DUPP mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk tindakan yang membawa kepada penghinaan sistem beraja yang telah sejak sekian lama di negara ini.

Beliau berkata, apa juga penghinaan sama ada dalam bentuk karikatur, penulisan, siaran media dan isyarat semuanya adalah satu sikap melampau yang mesti dielak dan dibendung sepenuhnya.

Ini kerana katanya, sistem beraja yang diamalkan telah sebati sejak sekian lama oleh rakyat khususnya orang Melayu kerana Raja atau Sultan di negeri-negeri merupakan Ketua Agama Islam, manakala Yang di-Pertuan Agong adalah ketua negara dan Ketua Agama Islam di negeri-negeri yang tidak mempunyai Sultan.

“Pengamalan Sistem Beraja juga secara konseptual boleh difahami antara salah satu dari tiga perkataan iaitu khilafah, sultan dan imamah yang semuanya merujuk kepada bidang kuasa penguasa tertinggi dalam menjalankan penguatkuasaan ke atas rakyat atau orang yang dipimpin di bawahnya.

“Tambah pula, pengamalan Sistem Beraja yang diamalkan di negara ini bukan sesuatu yang terpisah dan berasingan dengan hal ehwal yang melibatkan Islam.

“Peranan dan fungsi yang melibatkan punca kuasa Sistem Beraja sangat berkait dengan Islam malah menjadi satu keistimewaan bagi pelaksanaan Islam di negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata sistem Beraja yang termaktub dalam Perlembagaan jelas bahawa kepentingan memelihara dan menghormati institusi ini kerana ia menjadi simbol penjagaan agama Islam dan pemeliharaan kesuciannya yang jelas.

“Difahami dari itu, tindakan yang biadap dan penghinaan kepada sistem Beraja ini hakikatnya mengundang kepada serangan jahat terhadap agama Islam di negara ini,” katanya.

Foto Kredit: Yusof Mat Isa/Malay Mail

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here