‘Terpaksa jual harga sama walau kos bahan mentah naik’

0
2

Nurul Huda Abhar

RINTIHAN berhubung kenaikan harga barang semakin kerap didengar daripada peniaga khususnya mereka yang terlibat dalam operasi bazar sepanjang Ramadan ini.

Rata-rata peniaga mendakwa pembekal menaikkan harga barang sewenang-sewangnya, atas alasan bekalan sukar diperoleh ekoran pandemik Covid-19.

Tinjauan Malaysiapost di Bazar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) mendapati segelintir peniaga mengeluh terpaksa menjual barangan dengan harga lama walaupun kos bahan mentah naik.

Peniaga rendang dan serunding, Siti Nooriakha, 38, berkata peningkatan harga ayam dan daging segar tanpa kawalan sangat membebankan peniaga, kerana harga makanan yang dijual tidak boleh dinaikkan sesuka hati.

Peniaga rendang dan serunding, Siti Nooriakha, 38

“Walaupun harga ayam dan daging naik tapi saya tetap jual rendang dengan harga sama. Kami peniaga tak boleh naikkan harga ikut suka kerana harga pasaran perlu selaras.

“Jika pelanggan yang pernah beli sebelum ini, dan datang lagi kali ini lihat harga rendang atau serunding naik banyak… apa nanti kata mereka? Kami terpaksa jual harga asal kerana mahu habiskan makanan yang dijual.

“Sebab saya menjual makanan, tidak boleh nak simpan stok macam jual baju atau barangan lain. Jadi terpaksa ambil untung sikit sahaja janji makanan terjual,” katanya.

Sementara itu, menurut Muhammad Muslihuddin Mouzi, 25, peniaga kek di bazar tersebut mengakui harga beberapa jenis barang keperluan untuk membuat kek juga naik.

Muhammad Muslihuddin Mouzi, 25, peniaga kek

Namun begitu, dia seboleh-bolehnya akan mengekalkan barang yang digunakan untuk membuat kek jualan daripada bahan berkualiti untuk memastikan mutu dan rasa yang sama.

“Macam coklat yang saya pakai ini jenis premium. Dulu boleh dapat dalam sekitar RM39 harga borong tapi sekarang hampir RM60. Saya tetap pakai jenis yang sama sebab pelanggan suka.

“Saya dah lama menjual di bazar jadi tahu apa citarasa pelanggan. Kita tak boleh naikkan harga sebab mereka kebanyakan pelanggan tetap,” katanya.

Penjual biskut raya, Ummi Mohd Amin, 22, berkata harga aneka jenis biskut raya yang dikeluarkan kilang tahun ini tidak banyak berubah kerana majikannya membuat tempahan yang banyak.

Penjual biskut raya, Ummi Mohd Amin, 22

“Biskut raya kami masih RM25 sebekas. Jika beli tiga bekas RM50. Buat masa ini harga dari kilang tiada masalah kerana pemborong selalunya akan ambil kuantiti banyak.

“Lagi pula majikan saya memang borong biskut raya dari kilang ini sejak dulu. Jadi setakat ini harga masih macam biasa,” ujarnya.

Baru-baru ini terdapat rungutan daripada peniaga dan pembeli berkenaan kenaikan harga barang basah walaupun umat Islam baru sahaja menjalani ibadah puasa.

Ia termasuklah harga ayam mentah yang naik mendadak di pasaran.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataan berkata kenaikan harga makanan ternakan iaitu soya dan jagung diimport dari Argentina dan Brazil antara punca menyumbang kepada peningkatan harga ayam di pasaran.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan analisa awal mendapati kenaikan harga makanan ternakan itu menjejaskan harga ayam dalam rantaian bekalan daripada peringkat ladang ke pemborong, peruncit dan pengguna. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here