Muhammad Mustakim Ramli
PENDEDAHAN Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz semalam mendedahkah wajah sebenar DAP yang hipokrit, kononnya bersih, suci, tulus dan mulus, kata Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid.
Beliau berkata, pendedahan di sidang Parlimen berhubung tindakan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng meluluskan projek rundingan terus berjumlah RM6.6 bilion jelas menunjukkan sikap sebenar DAP.
“Saya tidak mahu mengatakan ‘direct nego’ itu satu kesalahan, ia dibenarkan. Bahkan perkara itu diakui sendiri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ia bukanlah satu kesalahan.
“Cuma apa yang kita ingin bangkitkan adalah perangai hipokrit, penipu DAP. Rakyat Malaysia tertipu selama 22 bulan oleh DAP yang kononnya melaksanakan tadbir urus baik dan telus.
“Namun, dalam masa sama di belakang pengetahuan rakyat mereka memberi kekayaan kepada kroni-kroni,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, perkara yang didedahkan Menteri Kewangan itu jelas bertentangan dengan janji dan manifesto DAP ketika meraih undi semasa kempen PRU14 yang lepas.
Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin, berkata sebelum ini Guan Eng pernah menyebut tiada lagi rundingan terus pada 2018.
Katanya, bekas Menteri Kewangan itu menyatakan akan guna Kerjasama Awam Swasta (Public-Private Partnership (PPP)) yang sebenar.
“Selama 22 bulan memerintah, langsung tidak pernah dibentang di Dewan Rakyat. Bayangkan jika PH-DAP memerintah selama satu penggal? Berapa ratus projek lagi dia mahu kelentong? Berapa bilion ringgit lagi runding terus tanpa persetujuan Kabinet?
“Kita bangkitkan perkara ini kerana merekalah yang bersungguh-sungguh mencanang imej bersih dan telus di hadapan rakyat,” katanya. – Malaysia Post

