Doa buat Syed Saddiq menerajui gerakan baharu

0
2

Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir


[Sudut Pandang] SEMALAM telah tular di ruangan media mengenai hasrat bekas Ketua ARMADA Nasional, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyatakan keinginan untuk menubuhkan sebuah parti baharu berasaskan golongan anak muda.

ARMADA melalui ‘Unit Penerangan’ hari ini ingin mengambil kesempatan mengucapkan setinggi tahniah dan syabas dalam pada mengalukan tekad usaha YB Syed Saddiq untuk membawa gelombang baharu dalam arena politik tanahair.

Selaku wakil sebuah sayap pemuda, saya positif dengan saranan Syed Saddiq sepertimana dipetik melalui laporan media, apa yang dinyatakan bekas Ketua ARMADA itu bahawa “Pada akhirnya, anak muda tidak boleh dipandang ringan lagi. Sudah sampai masanya pada hari ini bahawa politik tidak akan dikuasai oleh orang yang sama – dikawal dan dimonopoli oleh orang tua yang sama.”

Dari pernyataan beliau itu, diharapkan YB Syed Saddiq mampu teguh dalam mengemudi parti baharu tanpa keterikatan dan pengaruh dari mana-mana pemimpin ‘veteran’ sedia ada, dalam pada secara idealnya kita selaku pemimpin muda dapat membentuk suatu kematangan politik dalam kalangan masyarakat kelak untuk tidak terikut-ikut dengan politik sosok utamanya. Namun suatu hal yang idealis itu tetap perlu bersulam dengan realiti.

Sungguh jalan politik buat anak muda kelihatan masih panjang dan berliku dengan mengambil iktibar situasi semasa politik tanahair, namun anak muda tidak wajar putus harap dan perlu memainkan peranan mulai sekarang, untuk dididik melalui penyertaan ke dalam parti politik, ditambah ‘UNDI 18’ yang telah digerakkan dan bakal diwartakan untuk diimplementasi, maka bagi ARMADA sendiri, inilah masa kita bekerja mulai sekarang untuk giat mendampingi anak muda.

Hakikatnya rata-rata anak muda telah muak dengan ‘drama’ orang lama yang secara tidak langsung menghukum dan mengheret anak muda, menyedari gelombang yang bakal hadir ini, ARMADA tidak wajar berasa selesa dalam apa jua kedudukan.

ARMADA tidak harus membiarkan populisme mengambil tempat dalam pada dihimpit permainan politik semasa, kita wajar terus bekerja membuka lembaran dan naratif baharu untuk kekal relevan di kehadapan dalam kerangka dan gagasan ‘new conservatism’, pasak jatidiri dan kecelikan politik dalam acuan nasional yang kukuh!

Jika kita lewat atau tidak mendampingi anak muda yang celik informasi hari ini dalam pada gagal memasakkan jati diri ke dalam jiwa anak muda, kelak kita akan kesal atas hanyutnya generasi mendatang dengan populisme dan kebebasan nilai. Namun anak muda tidak boleh lagi ditipu dengan narasi kisah-kisah pembodohan bahawa kita akan ‘terbangsat’ sebegitu idea yang merendahkan bahawa kita ini ‘malas’, semestinya naratif-naratif ‘rasisme’ perlu dibunuh! Kita perlu memangkin jiwa anak muda khususnya anak muda Melayu dengan jatidiri dan nasionalisme yang ampuh dan tercerah.

Ya! Jalan kita anak muda masih jauh, pun begitu tidak wajib kita leka, anak muda wajar mulakan gerakan untuk mendominasi di segenap belahan gerakan politik. Sehingga suatu masa kita mampu meledak atas citra kita membangun negara bangsa dalam acuan kita dan utamanya kesedaran nasionalisme yang teguh.

Memetik kata-kata Soe Hok Gie, “Ya, Politik itu kotor, tetapi kalau tak terhindar, maka terjunlah!”… Terjunlah anak muda ke dalam politik, bukan untuk mengulangi kesilapan lampau, dan jangan pernah sama sekali putus harap dalam perjuangan demi negara, ingat juga bukan semua yang putih itu bersih dan yang hitam itu kotor.

ARMADA akan membawa nafas baru, memastikan gerakan ARMADA berkesan menelusuri cabaran mendatang.

Dalam pada itu di kesempatan ini, mewakili ARMADA seluruh Malaysia, dengan santun dan rendah hati ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada YB Syed Saddiq atas jasa bakti beliau menerajui ARMADA dan membuka platform ini untuk kami ARMADA terus berjuang, ARMADA turut mendoakan kejayaan Syed Saddiq dalam menerajui gerakan

baharu selaku ‘pesaing’ politik dan tidak menolak sebarang kerjasama di kehadapan dalam agenda membangunkan negara dalam pada itu kami ARMADA teguh akan terus berusaha dan berkhidmat di bawah kepimpinan Ketua ARMADA yang baharu, YB Wan Ahmad Fayhsal. – Malaysia Post