LEMBAGA Tabung Haji (TH) telah membentangkan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan TH bagi Tahun 2018 (Telah Diaudit) di Parlimen hari ini.
Laporan Penyata Kewangan TH 2018 telah dihantar kepada Jabatan Audit Negara (JAN) pada April 2019.
TH menerusi kenyataan berkata memandangkan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH dilaksanakan kerajaan terdahulu adalah suatu perkara yang kompleks dan tidak pernah dilakukan sebelum ini, proses pengauditan oleh JAN telah mengambil masa agak lama.
Ini menyebabkan kelewatan untuk pembentangan laporan ini dan Sijil Audit Bersih dari Ketua Audit Negara hanya dikeluarkan pada 21 November 2019.
“Pada masa sama, TH perlu melalui proses biasa dan mendapatkan ulasan dari agensi kerajaan yang berkaitan di mana ulasan-ulasan ini telah diperoleh pada 19 Disember 2019.
“…. dan diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada ketika itu untuk dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri, seterusnya di Parlimen setelah mendapat persetujuan Jemaah Menteri.
“Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan TH bagi Tahun 2018 (Telah Diaudit) tidak dapat dibentangkan pada 2019 berikutan Sidang Parlimen telah berakhir pada 19 Disember 2019,” kata kenyataan itu.
Menurut TH, perancangan asal adalah untuk laporan ini dibentang di Parlimen semasa sidang Mac 2020, namun juga tidak dapat dilakukan kerana perubahan kerajaan dan penangguhan sidang Dewan Rakyat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Oleh itu, katanya, laporan hanya dapat dibentangkan di Parlimen setelah diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri untuk dibentangkan pada 14 Ogos lalu.
“Bagi Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan TH bagi Tahun 2019, proses
pengauditan masih lagi berjalan.
“Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan TH bagi Tahun 2019 akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri setelah pengauditan selesai sebelum dikemukakan ke Parlimen.
“Orang awam yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Lembaga Tabung Haji bagi Tahun 2018 (Telah Diaudit) boleh melayari laman web rasmi TH di www.tabunghaji.gov.my.” – Malaysia Post

