PRK Slim: Calon BN hampir langgar Akta SPR

0
2

CALON Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz bernasib baik selepas hampir melanggar Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat pengundian awal, hari ini.

Timbalan Ketua Umno Tanjung Malim itu pada mulanya memakai baju yang menunjukkan lambang parti ketika sampai di Balai Polis Daerah Muallim.

Mana-mana individu yang memakai baju dengan logo parti menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954.

Menjelaskan perkara itu, Mohd Zaidi berkata insiden yang tidak disengajakan itu berlaku di pintu masuk dan ditegur oleh seorang pegawai SPR yang memaklumkan mengenai penampilannya itu.

“Saya memang terlupa sebab selepas solat Subuh saya terus keluar rumah dengan memakai baju korporat BN untuk meneruskan kempen bertemu pengundi untuk program sarapan pagi.

“Habis di sana, saya terus turun kereta menuju ke pintu masuk dan terlepas pandang dengan baju korporat. Saya ditegur di pintu masuk dan kembali ke kenderaan.

“Nasib baik saya ada baju lain tambahan dan menukarnya di dalam kenderaan di tepi jalan. Insiden ini tiada isu sebenarnya. Itu adalah peraturan dan kita perlu mematuhinya,” katanya seperti dipetik Malaysia Gazzete.