KERAJAAN bersetuju melanjutkan tempoh pegangan pajakan bagi Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas di Kuala Lumpur untuk tempoh 60 tahun.
Tempoh pegangan pajakan tanah tapak sekolah berusia 122 tahun itu akan tamat pada 6 September 2021.
Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan berkata kebenaran itu diberikan khusus untuk tujuan pendidikan sahaja.
Kata PMO, keputusan itu dibuat etelah meneliti dan mengambil kira kepentingan sumbangan SMK Convent Bukit Nanas kepada pendidikan negara sejak 1899.
Menurut kenyataan itu, Ketua Setiausaha Negara bersama Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan juga telah mengadakan pertemuan dengan Sr Theresa Chua Siu Yan, Lady Superior of the Society of Saint Maur yang mewakili Lembaga Pengelola SMK Convent Bukit Nanas.
Hasil pertemuan itu, kedua-dua pihak bersetuju dengan cadangan penyelesaian yang dibincangkan.
“Semoga dengan keputusan ini, SMK Convent Bukit Nanas akan terus melakar kejayaan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan dalam melahirkan modal insan negara yang berkualiti tinggi,” kata kenyataan itu hari ini.
Selasa lalu, kerajaan diminta mengambil tindakan segera memperbaharui pegangan pajakan tanah Sekolah Convent Bukit Nanas yang ditubuhkan sejak 1899.
Pakar perancangan bandar, Derek Fernandez berkata, sekolah bersejarah di Kuala Lumpur itu telah melahirkan ramai tokoh terkenal dan memberi pendidikan kepada puluhan ribu wanita.
Menurutnya, sekolah tersebut layak disenaraikan sebagai warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005. – Malaysiapost

