Darurat: Anwar gagal mencabar keputusan PM

0
1

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini gagal memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat. 

Perkara itu dimaklumkan Peguam Persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md Ali selepas prosiding kes di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Mariana Yahya yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, lapor Berita Harian. 

Mohammad Sallehuddin berkata, mahkamah menolak permohonan itu dengan alasan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar semakan kehakiman itu berdasarkan Perkara 150 (6) & 150 (8) Perlembagaan Persekutuan. 

Katanya, nasihat Kabinet dan Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memasyhurkan Ordinan Darurat adalah tidak tertakluk kepada semakan kehakiman. 

Perkara itu kemudian disahkan peguam Sangeet Kaur Deo, yang mewakili Anwar. 

Pada prosiding itu turut hadir, Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy dan peguam Ramkarpal Singh. 

Dalam permohonan difailkan 25 Januari lalu, Anwar memohon deklarasi bahawa keputusan yang diberikan oleh Jemaah Menteri, diketuai Muhyiddin untuk menasihati Al-Sultan Abdullah untuk memasyhurkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang telah mengakibatkan penggantungan Parlimen adalah bertentangan dengan undang-undang, tidak berperlembagaan, tidak sah, tidak mempunyai sebarang kesan dan ultra virus. 

Anwar memohon deklarasi bahawa Seksyen 14 Ordinan Darurat itu tidak konsisten dengan Perkara 150 (3) dan (5) Perlembagaan Persekutuan serta tidak berperlembagaan dan tidak sah selain memohon perintah mandamus memerintahkan kedua-dua responden untuk menasihatkan Al-Sultan Abdullah supaya membatalkan Seksyen 14 Ordinan Darurat berkenaan.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here