KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan tiga lagi kluster baharu melibatkan institusi pendidikan atau kluster sekolah dilaporkan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kluster baharu melibatkan institusi pendidikan itu dikenal pasti Selangor, Kelantan dan Kedah.
Menurutnya, Kluster Shah Banting yang direkodkan hari ini melibatkan daerah Kuala Langat di Selangor.
“Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 16 April 2021 hasil saringan bersasar pelajar sebuah institusi pendidikan di Jalan Sultan Suleiman Shah, Banting, Kuala Langat.
“Sehingga 22 April 2021, sejumlah 913 individu disaring, di mana 58 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, Kluster Mengkebang pula melibatkan kes indeks yang dilaporkan positif Covid-19 pada 10 April 2021 hasil saringan masuk wad.
“Kluster ini melibatkan pelajar sebuah institusi pendidikan di Mengkebang, Kuala Krai. Sehingga hari ini 178 individu telah disaring, di mana 21 kes dikesan positif,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau berkata Kluster Dinamik yang dilaporkan hari ini melibatkan daerah Kota Setar di Kedah yang mana kes indeks bagi kluster itu dilaporkan positif semalam hasil saringan individu bergejala.
“Kluster ini melibatkan pelajar sebuah sekolah di Jalan Sultanah, Alor Setar. Setakat ini 32 individu telah disaring, di mana 15 kes dikesan positif,” ujarnya.
Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 10 lagi kluster baharu dikenal pasti hari ini yang melibatkan lima kluster tempat kerja, empat kluster komuniti dan satu kluster keagamaan.
Selain itu, katanya, jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini sebanyak 74 kluster.
“Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Kampung Domis (162 kes), Kluster Jalan Hospital (101 kes), dan Kluster Jalan Shah Banting (55 kes),” kata beliau. – Malaysiapost

