KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) komited membantu membangun dan mempromosikan Sabah sebagai salah satu destinasi pelancongan yang menarik di Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri dalam kenyataan berkata, selain daripada aspek pelancongan, ianya bagi mengukuhkan hubungan strategik antara kementerian itu dengan kerajaan Sabah.
Beliau menyatakan cadangan tersebut dalam kunjungan hormatnya kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Pejabat Ketua Menteri, di Kota Kinabalu hari ini.
“Pertemuan ini memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk berbincang mengenai hala tuju gerak kerja pelancongan dan kebudayaan di negeri tersebut.
“Antara yang menjadi penekanan lawatan kerja kali ini ialah Sesi Jerayawara Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020-2030 di Sabah yang diadakan secara hibrid iaitu fizikal dan dalam talian bersama penggiat industri di negeri ini dan juga Wilayah Labuan.
“DPN 2020-2030 telah dilancarkan pada 22 Disember 2020 oleh Perdana Menteri merupakan satu dokumen yang merangkumi strategi utama bagi mengembalikan daya saing industri pelancongan negara di peringkat dunia.
“Sebelum ini, sesi ini telah diadakan di Sarawak, Zon Selatan dan Timur,” katanya yang mengadakan lawatan kerja empat hari ke Sabah, bermula hari ini.
Nancy berkata, MOTAC turut melancarkan Kempen Meet in Malaysia @ Sabah yang diterajui agensi di bawahnya, Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) bagi merangsang semula segmen acara perniagaan seterusnya membantu industri pulih lebih cepat.
Menurutnya, kempen itu merangkumi dua inisiatif iaitu program Let’s Meet Tomorrow membabitkan tarikan pengunjung antarabangsa dan Let’s Meet Locally pula membabitkan pasaran tempatan.
“Menjadi harapan saya, dengan lawatan kerja seperti ini, turut mempromosikan tempat yang akan saya lawati di sekitar negeri Sabah ini.
“Kita di MOTAC mahu membantu semua yang terlibat dalam ekosistem pelancongan, seni dan budaya agar terus utuh dan mampu menaik taraf hidup dengan lebih maju lagi,” jelasnya.
Sementara itu, Nancy dijangka menyempurnakan pelancaran Pakej Cuti Penjawat Awam Sabah dan Labuan iaitu inisiatif di bawah Tourism Malaysia dengan slogan ‘Bagus Baini!’ pada 23 April ini di Shangri-La Rasa Ria Resort, Tuaran.
Satu lagi program yang akan dilancarkan beliau ialah Kampus Satelit Institut Kraf Negara (IKN) Sabah, esok.
Kampus itu menawarkan Program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) kepada golongan beliawan dan beliawanis terutama di kawasan pedalaman Sabah untuk mengikuti pengajian tersebut.
Tempat lain yang akan dilawati beliau sepanjang lawatan kerja rasmi itu termasuk lokasi tarikan utama pelancong serta menerokai aktiviti dan budaya tradisional masyarakat Borneo sambil merasai keunikan makanan tempatan.
Antaranya, Balai Seni Lukis Sabah, Arkib Negara Malaysia Sabah, Rumah Tradisi, Tapak Cadangan Pembinaan Art House Balai Seni Lukis, Pusat Inkubator Kraf Kota Belud, Rumah Terbalik Tamparuli, Muzium Borneo dan Tekstil Sabah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah dan Tapak Sabah Cultural Park.
Selain itu, agenda lawatan termasuk aktiviti Island Hoping melibatkan Pulau Manukan, Pulau Sapi, Pulau Sulu dan Pulau Mamutik serta melawat Homestay Desa Cinta Kobuni, Inanam, Sabah. – Malaysiapost
Foto Kredit: Tourism Sabah

