MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memberi bayangan isu status pajakan tanah Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas (CBN) di ibu negara telah selesai.
Menerusi ciapan ringkas di Twitternya, Annuar membayangkan NBC yang telah wujud sejak 122 tahun lalu akan terus berada di lokasi sedia ada, sekali gus menggembirakan pihak sekolah dan alumni.
“Saya berharap Sek Men Convent Bukit Nanas dan Alumni sudah mendapat berita gembira… All the best,” ciapnya hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai berita gembira berkenaan.
Semalam, Annuar berkata beliau yakin isu CBN akan selesai segera dengan ihsan dan sentuhan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, Perdana Menteri amat perihatin hal sebegitu, terutama yang berkaitan pendidikan dan meminta semua pihak agar bersabar.
Sebelum ini pelbagai pihak meminta pihak berkuasa, termasuk Jabatan Warisan Negara untuk memelihara CBN dan terus melindungi keistimewaan dan warisannya sebagai institusi pendidikan bersejarah yang ikonik dan berperanan dalam mendidik rakyat Malaysia selama 122 tahun.
Selasa lalu, kerajaan diminta mengambil tindakan segera memperbaharui pegangan pajakan tanah Sekolah Convent Bukit Nanas yang ditubuhkan sejak 1899.
Pakar perancangan bandar, Derek Fernandez berkata, sekolah bersejarah di Kuala Lumpur itu telah melahirkan ramai tokoh terkenal dan memberi pendidikan kepada puluhan ribu wanita.
Menurutnya, sekolah tersebut layak disenaraikan sebagai warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.
Semalam, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) memberi jaminan bahawa Sekolah Convent Bukit Nanas tidak akan dirobohkan walaupun pajakan tanah sekolah itu tamat.
Pengarah PPTGWP, Datuk Muhammad Yasir Yahya berkata, tanah tersebut akan diserahkan kepada kerajaan bagi membolehkan ia diwartakan sebagai sekolah bantuan kerajaan. – Malaysiapost

