Terima kasih PM

0
1

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah.

Presiden, Adnan Mat berkata lebih menggembirakan apabila pemberian itu meliputi kakitangan ‘Contract For Service’, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan MySTEP dan RM250 kepada pesara kerajaan.

Menurutnya, CUEPACS telah mengutuskan surat kepada Perdana Menteri dua minggu lalu bagi menyampaikan permintaan warga penjawat awam mengenai bantuan khas itu.

“Alhamdulillah Perdana Menteri mengambil pertimbangan itu sekali gus menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam.

“Pemberian tersebut bukti penghargaan kepada usaha keras penjawat awam selama ini dalam menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, CUEPACS berharap semua penjawat awam meneruskan momentum kecemerlangan dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi menjayakan agenda pemulihan ekonomi serta dasar prihatin rakyat.

“Dengan keperihatinan kerajaan ini penjawat awam harus kekal fokus kepada tugas dan sudah pasti kerajaan menuntut kepada produktiviti dan intergriti,” katanya.

Dalam masa sama, CUEPACS berharap semua pihak berlapang dada dan tidak mempertikai keputusan kerajaan memberi bantuan Aidilfitri kepada penjawat awam.

Katanya, kerajaan merupakan majikan kepada penjawat awam dan tidak menjadi kesalahan untuk mereka meminta sesuatu bantuan daripada majikan sendiri.

“Daripada sudut yang luas, pemberian bantuan khas kewangan ini secara tidak langsung turut memberi impak yang positif kepada ekonomi dan rakyat apabila wang tersebut beredar ke pasaran.

“Bantuan kewangan tersebut sudah pasti akan dibelanjakan untuk membeli barangan keperluan dan aia akan memanfaatkan peniaga-peniaga kecil, pasar raya besar dan sektor-sektor ekonomi yang lain,” jelasnya.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan kerajaan bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah, selain RM250 kepada pesara kerajaan.

Pembayaran bagi bantuan khas berkenaan akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji bulan Mei iaitu pada 6 Mei 2021. – Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/04/22/cuepacs-mohon-kerajaan-teruskan-tradisi-beri-bantuan-khas-aidilfitri/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here