OPTIMUMKAN pembelajaran secara hibrid iaitu gabungan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) serta kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc).
Itu antara cadangan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) supaya dapat mengawal murid yang ramai di sekolah, seterusnya mengekang penularan Covid-19.
Presidennya, Ahmad Farhan Rosli berkata menerusi cadangan itu Kementerian Pendidikan (KPM) dapat meminimakan masa PdPc di sekolah dengan pembelajaran subjek kritikal dan penting sahaja.
Bagi subjek elektif, katanya, ia boleh dilaksanakan secara PdPR, pembelajaran berasaskan projek dan sebagainya.
“Apa yang penting adalah dengan mengoptimumkan masa yang cukup minima bagi murid berkumpul di sekolah yang tidak melebihi tiga jam sehari,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata cadangan lain adalah pembelajaran secara penggiliran murid yang boleh dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi menangani kesesakan murid di bilik darjah.
Katanya, sebahagian murid yang tidak ke sekolah akan menjalani pembelajaran secara PdPR, manakala murid yang hadir ke sekolah akan fokus dalam pembelajaran, bimbingan guru dan pembahagian tugasan kerja rumah.
Beliau juga mencadangkan agar autonomi pembukaan sekolah diberikan kepada pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
“Pentadbir sekolah dan PPD diberi panduan mengenai pembukaan dan penutupan sekolah berdasarkan kepada keadaan semasa di lokaliti daerah sekolah tersebut.
“Sekolah yang berada di zon merah digalakkan untuk ditutup, manakala di zon hijau boleh beroperasi secara SOP ketat,” katanya.
Katanya lagi, KPM juga boleh menerapkan kaedah pengajaran subjek elektif berasaskan tugasan dan projek.
“Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat ini, adalah lebih baik sekiranya KPM mendahulukan subjek kritikal dalam penumpuan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan atas talian.
“Pembelajaran bagi subjek elektif boleh ditangguhkan atau diberikan pembelajaran berasaskan kepada projek.
“PKPIM juga menggesa dan merayu kepada Kementerian Kewangan agar segera mengagihkan 150,000 komputer riba kepada pelajar sebagaimana yang dijanjikan dalam Belanjawan 2021,” katanya. – Malaysiapost

