Cegah maklumat palsu bukan sekat kebebasan media – Saifuddin

0
1

USAHA mencegah penyebaran maklumat palsu bukan bermakna menyekat kebebasan media, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Ia susulan keputusan kerajaan menguatkuasakan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 bermula 12 Mac lalu khusus bagi menangani maklumat tidak benar berkaitan Covid-19 dan Proklamasi Darurat.

Saifuddin berkata media di negara ini telah sekian lama menjalin usaha sama dengan kerajaan dan sentiasa proaktif membantu menyangkal maklumat palsu.

“Dalam era teknologi maklumat abad ke-21 ini, media bukan saja berperanan menyebar maklumat telus, tetapi juga melindungi masyarakat daripada penularan maklumat palsu yang boleh menggugat kestabilan dan keharmonian negara.

“Kerajaan juga sentiasa bersikap terbuka untuk menerima apa jua pandangan dan maklum balas demi kebaikan yang mengutamakan rakyat.

“Di kesempatan ini, saya memberi jaminan kerajaan akan terus menyediakan ruang seluas-luasnya kepada media untuk melapor berita selari dengan peruntukan yang sedia ada di bawah Perlembangaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saifuddin berkata, kementeriannya mengambil maklum mengenai Indeks Kebangsaan Media 2021 dikeluarkan Reporters Without Boarders pada 17 April lalu, di mana Malaysia mencatat kedudukan ke-19.

Menurutnya, kerajaan sentiasa komited dalam menyokong dan menegakkan kebebasan media di negara ini.

Beliau berkata, pendirian kerajaan juga telah dinyatakan dengan jelas dan mengiktiraf peranan penting pengamal media dalam menjalankan fungsi dan menunaikan tanggungjawab mereka.

“Ketika kita sedang berjuang menghentikan pandemik Covid-19, kerajaan serata dunia juga berhadapan dengan penyebaran maklumat palsu dan memastikan berita tentang informasi yang sahih dan tepat disalurkan kepada rakyat.

“Perkara ini amat penting terutamanya bagi usaha menyelamatkan nyawa dan menjaga keselamatan sejagat dalam krisis kesihatan yang melanda ini,” ujar beliau. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here