Azan Maghrib terawal 3 minit, puasa ahli kariah Masjid Al-Khairiyah batal

0
2

JEMAAH dan ahli kariah Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak yang berbuka puasa dengan berpandukan laungan azan Maghrib masjid itu Isnin lalu, diminta menggantikan puasa pada hari tersebut.

Ia susulan puasa jemaah di kawasan terbabit terbatal kerana berlaku masalah teknikal pada paparan digital waktu azan di masjid berkenaan.

Pihak masjid dalam satu kenyataan turut mengakui kesilapan itu di mana azan dilaungkan tiga minit lebih awal sebelum masuk waktu sebenar.

Kenyataan rasmi Masjid Al-Khairiyah itu yang dikeluarkan semalam turut tular di media sosial.

“Assalaimualaikum. Saya mewakili seluruh pentadbiran Masjid Al-Khairiyah Taman Seri Gombak memohon maaf atas kesilapan kami melaungkan azan Maghrib tiga (3) minit sebelum masuk waktu sebenar pada hari Isnin @ 7 Ramadhan 1442 @ 19 April 2021* disebabkan oleh masalah teknikal paparan digital waktu azan di masjid.

“Para jemaah yang bergantung semata-mata kepada laungan azan Maghrib dari Masjid Al-Khairiyah untuk berbuka puasa, sila maklum bahawa puasa Tuan/Puan telah terbatal pada hari tersebut dan perlu diganti/diqadha’,” menurut kenyataan yang tular itu.

Kenyataan itu dikeluarkan Nazir masjid, Wan Nawawi Wan Dagang pada jam 6.30 petang semalam.

Menurut kenyataan itu, terbatalnya puasa itu berdasarkan pandangan jumhur ulama dari kalangan Omam Hanafi, Maliki, Syafie dan ramai di kalangan ulama Hanbali menyatakan bahawa puasa tersebut batal dan wajib diqadha.

“Para jemaah boleh ikuti syarah hukum melalui siri Bayan Linnas Siri Ke-97 Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bertarikh 18 Jun 2017

“Sekali lagi kami mohon maaf dan Insya-Allah perkara sebegini tidak akan berlaku lagi.”

Malaysiapost turut menghubungi pihak masjid berkenaan bagi mengesahkan mengenai kenyataan yang tular itu dan ternyata perkara itu benar.

Menurut pengurusan masjid, perkara itu benar dan polis juga sudah menghubungi bagi mengetahui kesahihan kenyataan yang tular itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here