Peningkatan kes India wajar jadi iktibar

0
1

PENINGKATAN ketara kes baharu di India yang mencetus kebimbangan baharu dalam usaha mengakhiri pandemik Covid-19, wajar menjadi pengajaran kepada rakyat Malaysia.

Menurut perkongsian di Facebooknya Kementerian Kesihatan (KKM), apa yang berlaku di India seharusnya mengingatkan rakyat Malaysia agar terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ini kerana menurut KKM, perang melawan Covid-19 belum berakhir walaupun telah mendapat vaksin kerana ‘tiada sesiapa selamat sehingga semua selamat.’

Menurut hantaran itu, pada awal tahun ini, kes harian di India telah menurun bawah 10,000 apabila program vaksinasi dilancarkan.

“Namun, kes positif kembali melonjak lebih 250,000 jangkitan sehari dan dijangka angka ini akan terus meningkat kepada 500,000 kes sehari hanya dalam tempoh sebulan yang memberi tekanan kepada sistem kesihatan sedia ada.

“Peningkatan kes pada gelombang ini dikhuatiri disebabkan varian baharu, B.1.617 yang dikesan dalam kebanyakan kes di Maharashtra, bahagian paling teruk terjejas di India selain ketidakpatuhan pada protokol kesihatan yang disediakan.

“Berbeza dengan varian sebelum ini, varian B.1.617 mempunyai mutasi berganda pada pepaku protein yang berpotensi untuk meningkatkan kadar jangkitan dan melepasi sistem pertahanan badan.

“Malah, varian ini dikatakan lebih mudah menjangkiti golongan muda dan kanak-kanak dan menyebabkan gejala yang lebih teruk,” kata KKM.

Tambah KKM, oleh sebab itu banyak negara termasuk Amerika Syarikat, Britain, Hong Kong, Australia, New Zealand, Jerman dan Singapura telah menyekat penerbangan dari India atau menasihati pengembara untuk mengelak daripada terbang ke India bagi membendung penularan varian baharu.

“Walaupun begitu, Israel melaporkan vaksin Pfizer-BioNTech masih berkesan terhadap varian baharu tetapi tahap keberkesanannya berkurangan. Ini berdasarkan tujuh kes berkaitan varian ini yang telah mendapat vaksin tersebut.

“Selain itu, penurunan kes yang mula dilihat pada awal tahun serta program vaksinasi besar-besaran yang giat dijalankan memberi anggapan bahawa imuniti kelompok telah dicapai.

“Ini menyebabkan rakyatnya mula alpa dan melonggarkan norma baharu yang diamalkan sebelum ini, seterusnya menyumbang kepada lonjakan kes pada gelombang ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/04/19/jangkitan-harian-covid-19-tinggi-kerajaan-nafi-manipulasi-data/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here