Rina Harun cari biskut raya

0
2

MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun menjemput peniaga biskut raya khususnya usahawan wanita mempromosikan produk jualan mereka di laman sosial Facebooknya.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu, membuat pelawaan berkenaan susulan ingin membuat tempahan biskut raya bagi tahun ini selain membantu perniagaan usahawan wanita.

“Malam tadi selepas seharian sibuk dengan kerja, mak saya tiba-tiba tanya, dah tempah ke biskut raya tahun ni? Allahuakbar, baru teringat. Saya belum tempah lagi.

“Selalunya urusan persiapan biskut raya keluarga, memang saya uruskan sendiri. Seperti tahun lepas, banyak juga biskut yang ditempah sama ada melalui online, Srikandi Bersatu dan juga usahawan wanita yang lain,” katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

Menurutnya, biskut raya berkenaan bukan hanya untuk keluarganya tetapi juga untuk disedekahkan kepada sanak saudara dan rakan taulan.

“Jadi, khusus kepada usahawan wanita di luar sana yang berniaga biskut raya, sudi-sudikanlah ya untuk beritahu di ruangan komen di bawah, jenis biskut yang dijual dan maklumat diri (nama, nombor telefon dan lokasi perniagaan, ig atau FB). Mudah untuk saya hubungi nanti.

“Kalau boleh biarlah biskut raya tu tahan dari pecah dan tidak rosak bila dipos. Oh ya, kalau boleh buat penghantaran terus ke Putrajaya lagi bagus. Mana tahu, ada rezeki, boleh juga kita bersua muka.

“Saya doakan hari ini dan seterusnya, puan-puan semua dimurahkan rezeki oleh Allah SWT, dilipatgandakan ganjaran. Semoga perniagaan akan terus bertambah maju. Salam Ramadan buat semua,” katanya.

Sementara itu semakan Malaysiapost mendapati selepas sejam pelawaan itu dibuat, sudah hampir 200 iklan mengenai pelbagai aneka biskut dan kuih raya diruangan komen di hantaran dibuatnya itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here