Tiada garis panduan Covid-19 punca kluster sekolah – Syed Saddiq

0
2

KEGAGALAN Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan garis panduan Covid-19 didakwa antara punca wujud kluster dan jangkitan pandemik itu di sekolah.

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata kementerian sepatutnya membuat persediaan rapi ketika memutuskan pembukaan sekolah secara fizikal terutama dalam situasi pandemik ketika ini.

“Lebih satu tahun wabak pandemik Covid-19 tular di negara ini, Menteri Pendidikan seolah-olah masih lagi tidak mampu menyediakan garis panduan Covid-19 yang boleh digunakan sekolah.

“Saya pernah tegur persediaan sekolah untuk dibuka sewaktu musim pandemik. Semua persiapan harus dibuat dengan teliti.

“Jika lambat bertindak, kemungkinan akan wujud lebih banyak kluster pandemik di sekolah yang melibatkan guru dan anak murid,” katanya menerusi Facebook.

Mengulas lanjut, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Besar Malaysia (KKGGBM) memaklumkan sekurang-kurangnya 146 sekolah rendah dan 40 sekolah menengah merekodkan kes Covid-19 sejak 1 Mac lalu.

“Sarawak misalnya, sudah ada Kluster Jalan Disa yang melibatkan 99 pelajar sekolah rendah dan Kluster Ulu Balingian di salah satu sekolah menengah di Selangau.

“Di Kelantan, seramai 100 murid sekolah menengah di Tumpat telah positif Covid-19. DI SMK Kota Kemuning, walaupun 182 pelajar dan 41 guru dari 6 kelas telah diarahkan kuarantin, sekolah masih dibuka seperti biasa,” katanya.

Syed Saddiq turut mempersoalkan sama ada kerajaan akan menutup semula sekolah sekiranya penularan Covid-19 semakin meningkat.

“Semua kes ini telah mencetuskan tanda tanya dan persoalan besar dari ibu bapa. Jika ada kes tular kepada ramai murid dan guru, adakah sekolah masih akan dibuka seperti biasa atau perlu ditutup?

“Jika ditutup, adakah sekolah sudah bersedia dengan pembelajaran secara atas talian?,” katanya.

Beliau berkata, tidak ada makluman daripada Menteri Pendidikan mengenai perkara itu sekali gus menyebabkan Ibu bapa memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah.

“Saya juga pernah mengulas tentang keperluan untuk guru melalui proses vaksinasi dengan segera. Itu juga tidak ada makluman baru dari kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Ibu bapa pelajar di sekurang-kurangnya dua sekolah di Selangor dan Kuala Lumpur yang merekodkan kes Covid-19 memilih untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah.

Difahamkan, keputusan itu dibuat sementara menunggu maklum balas terhadap gesaan agar sekolah ditutup. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here