DUA warga emas berusia 84 tahun, kedua-duanya dari Sibu, Sarawak antara penerima vaksin Covid-19 hari ini.
Mereka menerusi dos pertama suntikan vaksin Pfizer-BioNTech sempena fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula hari ini.
“Antara yang menerima vaksinasi pada hari ini iaitu hari pertama fasa 2 PICK untuk warga emas, OKU dan pesakit kronik adalah Tn Hj Tamby Sulaiman, 84, dan Encik Ngan Kho Wu, juga 84, dari Sibu, Sarawak.
“Mereka telah menerima vaksin Pfizer,” ciap Menteri Penyelaras PICK yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menerusi Twitternya hari ini.
Selain Sibu, antara lokasi pemberian vaksin bagi kumpulan warga emas hari ini adalah di Jempol, Negeri Sembilan.
Baru-baru ini, Khairy berkata janji temu untuk pemberian vaksin fasa kedua mula diberikan melalui aplikasi MySejahtera, panggilan telefon dan SMS bermula 5 April lalu.
Fasa kedua PICK dimulakan dengan keutamaan diberikan kepada warga emas.
Setakat semalam, lebih 8.9 juta penduduk Malaysia telah mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

