PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersungguh-sungguh dan komited membanteras kegiatan judi atas talian.
Ahmad Zahid, berkata kenyataan SKMM meminta pengguna media sosial untuk lebih bertanggungjawab terhadap iklan judi, disifatkan bukan penyelasaian terhadap isu itu.
“Itu bukan jawapan yang tegas daripada SKMM. Selama ini SKMM bersama pasukan cybertroopers begitu tegas dengan komen-komen panas. Sepatutnya cybertroopers yang diupah membentuk masyrakat jangan berjudi. Ini masalah rakyat dan negara.
“Jawapan yang tegas adalah SKMM perlu berkata bahawa mereka akan membasmi sepenuhnya aktiviti judi atas talian. Kita seringkali mendengar alasan kedegilan syarikat judi meneruskan aktiviti biarpun pelbagai operasi sudah dijalankan. Ada juga alasan syarikat menggunakan cip yang berpangkalan di luar negara,” katanya menerusi Facebook.
Ahmad Zahid berkata, judi online ini bukanlah perkara baharu tetapi sudah lama bertapak di negara ini termasuk ketika beliau menjadi Menteri Dalam Negeri lima tahun lalu.
“Jika dahulu mereka beroperasi di premis tetapi ketika saya menjawat Menteri Dalam Negeri pada 2016, aktiviti itu berjaya dilumpuhkan.
“Sejak daripada itu taukeh judi mengubah operasi dengan menggunakan telefon bimbit. Kaki judi tidak lagi perlu pergi ke premis sebaliknya hanya memuatnaik aplikasi di telefon pintar.
“Mereka akan memasukkan wang ke akaun syarikat sebelum diberikan kredit untuk bertaruh. Bahkan ada pelajar sekolah turut terjebak. Katanya ketagih dengan game Great Blue,” katanya.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, sebelum ini syarikat judi mempromosikan aktiviti itu dengan mengiklankan di media sosial selain menghantar mesej kepada pengguna telefon pintar.
“Terbaharu siap buat iklan lagu hari raya. Nampaknya Petronas dan TNB yang selalu buat iklan raya pun boleh kalah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta umat Islam jangan terpengaruh dengan stratergi perniagaan syarikat judi online berkenaan kerana ia bukan jalan pintas untuk mendapatkan wang.
“Saya harap pihak polis mengekang habis habisan aktiviti tidak bermoral itu. Judi menghancurkan negara, masyarakat, institusi sosial, keluarga malah menjeratkan individu terbabit dengan pinjaman ah long. Hasilnya sudah kita lihat,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

