PEMUDA Umno Johor mahu angka dan data kes harian Covid-19 diperincikan untuk memastikan ia benar-benar telus dengan situasi semasa.
Ketuanya Mohd Hairi Mad Shah, berkata pihaknya mahu angka kes jangkitan harian Covid-19 yang dilaporkan bukan bersifat ‘umum’ dan sekadar mahu menunjukkan ‘progres’ semata-mata.
Katanya, gesaan itu dibuat selepas melihat situasi Covid-19 negara yang dilihat tidak menampakkan perubahan positif, malah semakin meningkat.
“Kalau kita lihat kepada jumlah angka kes harian terus mencatatkan bilangan 4 angka malah jejak ke jumlah lebih 2,000 kes.
“Persoalan mula timbul, apabila langkah mengisytihar Darurat dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 (yang tidak tegas dan lompong) dikatakan untuk memerangi Covid-19.
“Namun, bukan kata impak lebih baik, paling-paling menurunkan jumlah kes kepada tiga atau dua angka pun tidak berlaku hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, beliau mempersoalkan kerelevanan perintah darurat dilaksanakan untuk memerangi Covid-19 ini dilaksanakan.
“Adakah ia hanya sekadar untuk memberi tempoh masa cukup untuk barisan Jemaah Kabinet mengumpul duit gaji dan ‘allowance’ atau dana sebelum menghadapi PRU?
“Justeru, Pemuda Umno Johor mendesak kerajaan bersikap jujur, memberitahu segala angka yang lengkap dan spesifik. Gaji anda berbelas/berpuluh ribu. Bekerja keraslah seperti nilai gaji diberi,” katanya.
Sementara itu, beliau turut meminta Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menyatakan berapa ramai petugas barisan hadapan sudah menerima vaksin.
“Nyatakan secara terperinci dan data yang jelas berapa ramai Polis, kakitangan KKM, anggota Tentera, Bomba dan lain-lain petugas barisan hadapan yang sudah mendapatkan vaksin.
“Adakah sudah merangkumi majoriti petugas barisab hadapan di negara ini? Atau sekadar angka umum yang mahu membeli jiwa rakyat.
“Berapa banyak dan perincikan perbelanjaan yang digunakan untuk pembelian vaksin. Rakyat ingin tahu berapa kerajaan gunakan untuk setiap jenama vaksin yang dibeli sampai Abah pun kata duit kerajaan sudah semakin ‘kering’,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/18/kesahihan-angka-kes-harian-covid-19-dipersoalkan-ahmad-zahid/

