UMNO tidak mahu tergesa-gesa memutuskan calon Perdana Menteri kerana tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) belum ditetapkan lagi.
Ketua Penerangannya, Shahril Sufian Hamdan berkata demikian menjawab kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mendakwa Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai calon Perdana Menteri.
“Umno belum menamakan. Bila hendak menamakan, itu keputusan Umno-lah. Setahu kami, PRU bukan esok maka, Umno tak tergesa-gesa hendak menamakan calon PM.
“Seperkara lagi, berbeza dengan Bersatu, Umno ada ramai pemimpin berkaliber yang boleh diketengahkan bukan hanya sebagai calon suatu jawatan Perdana Menteri tetapi membarisi kepimpinan secara umumnya, baik di peringkat Persekutuan atau Negeri,” katanya menerusi Facebook.
Shahril berkata, Bersatu mudah untuk membuat keputusan berhubung calon Perdana Menteri kerana parti itu sememangnya tidak mempunyai calon lain untuk jawatan terbabit.
“Sesudahnya jika dapat jawatan itu, yang lain mungkin boleh tangkap muat. Tidak untuk Umno. Pendekatan kami berbeza,” katanya.
Justeru, Shahril berkata, demokrasi Malaysia masih tergendala akibat keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan darurat.
“Jadi hendak buktikan majoriti di Parlimen pun tak mampu, apatah lagi hendak PRU segera. Maka, Umno tak tergesa-gesa hendak menamakan calon Perdana Menteri,” katanya.
Terdahulu, Wan Saiful berkata, beliau yakin tidak ada calon lain lagi yang lebih untuk menjadi Perdana Menteri, selain Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Wan Saiful mempersoalkan siapakah calon yang ditawarkan oleh BN sebagai Perdana Menteri, berbanding Pakatan Harapan (PH) yang menawarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kalau PH mereka akan tawarkan Anwar yang akan datang bersama DAP. Kalau BN, siapa mereka akan tawarkan sebagai Perdana Menteri? Sampai hari ini mereka belum namakan calon Perdena Menteri mereka.
“Saya jangka sebagai Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi calonnya. Bila dibandingkan ketiga-tiganya rekod Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan beliau bukan sahaja layak malah patut meneruskan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri,” katanya. – Malaysiapost

