Maahad Tahfiz Tanah Merah dikenakan PKPD esok

0
2
Ismail Sabri

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di lokaliti berkenaan. 

Menurutnya, sehingga kini 396 ujian saringan telah dibuat dan daripada jumlah itu sebanyak 43 kes positif Covid-19 direkodkan.

“Setelah membuat penilaian risiko pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah itu hingga 2 Mei ini.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan pelanjutan PKPD di Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik, Felcra Keruak, Hulu Besut, Besut, Terengganu bermula 21 April ini.

Menurutnya, PKPD di lokaliti terbabit yang dijadualkan tamat pada 20 April ini dilanjutkan susulan masih terdapat penularan berterusan dalam kalangan penduduk dengan 130 kes direkodkan dan 309 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

“Selepas membuat penilaian risiko, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di semua kawasan terbabit bermula 21 April sehingga 27 April ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here