KERAJAAN diminta supaya berhenti menyalahkan rakyat berhubung peningkatan kes Covid-19 dan sebaliknya merima teguran serta menghasilkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih baik dalam menangani wabak berkenaan.
Ketua Dewan Pemuda Ikatan Perak (DPIP), Mohammad Amirul Saharuddin, berkata sejak mutakhir ini, kerajaan dilihat sering menyalahkan rakyat berikutan kenaikan kes, sedangkan rakyat sudah mengikut SOP yang telah ditetapkan.
“Jika diingatkan kembali kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan sebelum ini bahawa setengah individu yang didapati positif Covid-19 tetapi tidak bergejala seperti demam, batuk, sakit tekak dan sebagainya adalah mustahil dikesan tanpa melalui ujian saringan calit.
“Lebih mengusarkan rakyat apabila Ketua Pengarah Kesihatan sendiri mengeluarkan kenyataan baru-baru ini berhubung 40 petugas kesihatan yang selesai menerima dos kedua vaksin namun masih dijangkiti Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, persoalan yang timbul sekarang ni, sampai bila rakyat perlu dihalang untuk pulang berjumpa dengan ahli keluarga yang telah lama terpisah, takkan hanya bagi rakyat pulang ke kampung untuk melihat mak ayah yang telah terbaring tidak bernyawa.
“Sampai bila umat Islam perlu solat dalam keadaan berjarak dan hanya setengah dapat merasa solat berjemaah di masjid namun setengah lagi hanya mampu melihat dari luar masjid.
“Belum sentuh lagi pembelajaran sekolah. Bila kes turun sekolah buka, bila kes naik adakah sekolah akan tutup kembali. Persoalannya sehingga bila perkara sebegini akan berterusan,” katanya.
Mohammad Amirul berkata, pada awal perintah darurat dikenakan majoriti rakyat menerima baik dengan harapan kes berkurang dan tiada kes harian dilaporkan tetapi sebaik sahaja desakan rakyat untuk balik kampung beraya terus kes melonjak naik.
“Sejak Covid-19 merebak di seluruh negara, terlalu banyak carta graf ditunjukan kepada rakyat, pada saya hanya menunjukan graf tidak ada guna kerana ia mengundang kemarahan dan kebencian rakyat hingga rakyat boleh jadi pakar carta graf.
“Jika darurat dilaksanakan tetapi kes masih lagi naik adalah lebih baik darurat ditarik balik kerana rakyat sudah penat ‘digari’ oleh kerajaan dan segera memikirkan cara lain. Cukuplah kerajaan main tarik tali dengan rakyat, sekejap bebas sekejap kurung,” katanya.
Menurutnya, sangkaan kerajaan berkenaan kes harian Covid-19 akan turun sehingga dua angka menjelang Mei ini hampir mustahil dicapai dengan kenaikan harian yang mendadak dan langkah mengenakan darurat juga dilihat tidak mendatangkan apa-apa manfaat.
“Terima teguran rakyat dan hasilkan SOP yang lebih baik, jangan masuk telinga kiri keluar telinga kanan.
“Sangat tidak adil apabila rakyat dikurung tapi ahli politik bebas bergerak ‘ke sana ke sini, ke sana ke sini’,” katanya. – Malaysiapost

