LAPORAN kes harian Covid-19 yang kini dilihat mencecah lebih 2,000 sehari menimbulkan persoalan kesahihan angka dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setiap hari itu.
Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pihaknya tertanya-tanya mengenai kebenaran dan kesahihan angka yang dilaporkan serta dari mana datangnya data berkaitan statistik berkenaan.
“Laporan kes harian Covid-19 ketika ini dilihat mencanak-canak naiknya ibarat bedilan roket membelah angkasa.
“Adakah data itu benar dan siapa yang mengesahkan angka kes itu benar? Benarkah atau tidak benar? Bukan apa rakyat begitu bimbang menyaksikan laporan harian Covid-19 yang meningkat secara tiba-tiba.
“Ramadan baru hari keenam. Jangan pula dikaitkan dengan bazar Ramadan atau tarawih,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mempersoalkan adakah kes akan dibiarkan meningkat sehingga 5,000 hingga 6,000 kes sehari.
“Atau juga tiada kes tetapi diberitahu jumlahnya tinggi sekali gus menggusarkan orang ramai? Saya hanya bertanya dan tidak sesekali menuduh.
“Jika ia benar (jumlah kes) kerajaan wajar mengambil tindakan segera bagi menurunkan angka dan jika tidak benar perbuatan itu amat dikesali dan berdosa untuk seluruh rakyat,” katanya.
Beliau berpendapat dalam keadaan Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi, manakala Proklamasi Darurat hanya berbaki empat bulan, maka ada kemungkinan peningkatan kes Covid-19 akan dijadikan modal untuk memanjangkan tempoh darurat.
“Saya juga pelik tiba-tiba sahaja Sarawak menjadi negeri yang mencatatkan kes harian tertinggi. Tiba-tiba sahaja.
“Mungkinkah rentas negeri dan kebenaran pulang berhari raya tidak dibenarkan di Sarawak. Simpati juga pada nasib guru di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Ahmad Zahid berpendapat, guru yang tidak dapat pulang ke Semenanjung pastinya menjimatkan wang kerajaan kerana tidak perlu menampung kos tiket penerbangan mereka.
“Harap dapat keadilan buat mereka (guru). Jika itu (tidak dapat pulang) berlaku pastinya menjimatkan wang kerajaan dan tidak perlu lagi meminta wakaf daripada penjawat awam,” sindirnya.
Beliau juga membangkitkan isu mengenai bonus untuk penjawat menjelang Aidilfitri yang masih belum diumumkan lagi.
“Apa-apa pun doa saya moga rakyat Malaysia dipelihara kesihatan oleh Allah SWT dan patuh prosedur operasi standard (SOP).
“Jauhi diri daripada virus jahat dan amalkan gaya hidup sihat. Berpuasa adalah ibadah yang menjaga kesihatan,” katanya. – Malaysiapost

