Makanan ternakan punca harga ayam naik – KPDNHEP

0
2

PENINGKATAN harga ayam di pasaran berpunca daripada kenaikan harga makanan ternakan iaitu soya dan jagung yang diimport dari Argentina.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan hasil analisa awal mendapati kenaikan tersebut telah menjejaskan harga ayam dalam rantaian bekalan daripada peringkat ladang ke pemborong, peruncit dan pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata KPDNHEP turut melaksanakan Ops Catut 8.0 bermula Khamis lalu, susulan beberapa kes kenaikan harga ayam yang dikesan baru-baru ini.

“Sehingga Jumaat, sejumlah 24 notis sudah dikeluarkan kepada pemborong, 16 notis kepada penternak yang disyaki mencatut.

“KPDNHEP menerima 15 aduan berkaitan harga ayam, daging (satu), sayur (dua) dan ikan (15) di seluruh negara sejak puasa bermula.

“Namun tiada aduan diterima berkaitan kekurangan bekalan ke atas semua bahan makanan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexander berkata, KPDNHEP turut melaksanakan Ops Pantau di seluruh negara mulai Selasa lalu di lokasi tumpuan membabitkan bazar Ramadan dan Aidilfitri, pasar awam dan basah, hypermarket, pasar raya, pasar mini dan kedai runcit dengan tumpuan diberi terhadap peniaga ayam, daging dan ikan.

“Sehingga Jumaat lalu, 5,768 premis diperiksa di seluruh negara dengan 27 kes direkodkan atas pelbagai kesalahan,” katanya

Selain itu, beliau berkata, KPDNHEP melaksanakan Ops Suri pada 1 Januari lalu membabitkan penandaan harga dan mencegah pencatutan termasuk oleh peniaga ayam, daging, ikan dan sayuran.

“Ops Pasar (sayur, daging dan ayam) bermula 12 Januari hingga 17 Mac lalu dilaksanakan bagi memantau dan mengawal kenaikan harga di setiap peringkat pembekalan barangan terdiri daripada peruncit dan pembekal.

“Sepanjang operasi dijalankan, 1,149 notis dikeluarkan kepada peniaga yang disyaki mencatut,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, semakan terhadap dakwaan isu viral di Facebook berkaitan paparan harga ikan, ayam dan daging lembu yang dikatakan tinggi di aplikasi PriceCatcher KPDNHEP di sekitar Kuala Lumpur, didapati kurang tepat serta tidak menggambarkan situasi sebenar.

Ia kerana, katanya, maklumat disebarkan tidak menerangkan harga di semua tempat dan paparan tular itu hanya membabitkan harga tiga barang iaitu ikan kembung, ayam dan daging di premis sekitar Bukit Bintang.

“Semakan mendapati terdapat premis lain di kawasan berdekatan yang menjual tiga barang berkenaan pada harga lebih murah daripada yang dinyatakan dalam hantaran Facebook itu.

“Untuk rekod, harga tiga barang yang tular itu iaitu ikan kembung dijual sehingga RM24 (sekilogram), ayam bersih Super RM12 manakala harga daging lembu tempatan (bahagian daging pejal kecuali batang pinang) mencecah RM40 sekilogram,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/04/17/harga-barang-naik-kenapa-kerajaan-perlu-nafi-najib/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here