PENGERUSI Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak mendakwa ramalannya mengenai Umno dan BN akan dikaitkan dengan kegagalan kerajaan dari segi ekonomi, kawalan Covid-19 dan langkah-langkah tidak disenangi rakyat ketika ini, kini menjadi kenyataan.
Menurutnya, kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah dijangka dan diulasnya pada Oktober tahun lalu, namun ketika itu ada pihak menggunakannya sebagai propaganda mendakwa ia bertujuan menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mahu kes-kes mahkamah dihadapi diselesaikan.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau mula sedar bahawa niat kerajaan PN sudah tak betul ketika kali pertama meminta darurat dan Parlimen digantung pada Oktober 2020 tanpa berbincang dengan parti lain.
“Ini terbukti benar hari ini bahawa darurat tak membantu manakala pelaburan asing menjunam ke paling rendah dalam ASEAN berbanding paling tinggi sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Saya juga kecewa dengan langkah mengawal Covid yang diambil kerajaan masa itu. Misalnya, tidak mewajibkan kuarantin individu yang pulang dari Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan selepas itu bertukar kuarantin kendiri tiga hari sahaja walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) sedar purata tempoh inkubasi adalah enam hari,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Najib berkata, saranannya supaya kerajaan sekat rentas negeri serta-merta memandangkan jumlah kes baharu Covid-19 di Semenanjung cuma dalam puluhan kes sehari ketika itu, tetapi tidak dilayan yang akhirnya menyebabkan negara berdepan gelombang ketiga Covid-19 hingga hari ini.
“Dari Oktober lagi, saya sudah beri amaran kepada Umno bahawa kita tentu akan disalahkan kerana gagal mengawal ekonomi walaupun Umno langsung tidak mengambil peranan dalam hala tuju kewangan dan ekonomi memandangkan Bersatu memonopoli jawatan.
“Sebab itu, saya segan untuk beri komen tentang tanda pagar #kerajaangagal walaupun saya juga tak faham kenapa sehingga hari ini Umno dan BN masih mahu berkait dengan kerajaan yang gagal, melainkan ada yang lebih mementingkan jawatan berbanding kepentingan negara, rakyat dan parti,” katanya – Malaysiapost

