DALAM mencari keberkatan Ramadan, golongan artis tidak terkecuali menghulurkan bantuan serta sumbangan kepada pihak yang memerlukan.

Penyanyi rock terkenal tanah air Datuk Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 52, turut melancarkan misi kemanusiaan bagi membantu golongan kurang berkemampuan.
Misi Kemanusiaan Awie dan Sayap-Sayap Wings 2021 dilaksanakan hari ini dalam memberi sumbangan kepada 50 ibu tunggal dari Persatuan Ibu Tunggal Parlimen Jelebu, Negeri Sembilan.
Awie berkata, usaha itu bermula ketika dia ditanya sama ada ingin terlibat dalam perancangan untuk menyampaikan sumbangan kepada golongan ibu tunggal.
“Bila dengar sahaja sumbangan pada ibu tunggal saya terus kata Insya-Allah saya usahakan dan terus buat panggilan.
“Saya mencari orang yang betul serta tepat dan mendapat sumbangan daripada pihak Jakel dalam bentuk barangan dapur, barangan keperluan untuk sebulan,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan berkenaan yang disiarkan secara langsung di Facebook Awie Al Pamalo hari ini.

Menurutnya, perancangan kemudian terus dibuat tanpa membuang masa hinggalah dapat melakukan penyerahan hari ini.
“Saya fikir ibu tunggal, saya tiada ibu… ibu saya sudah meninggal dunia, jadi saya anggap ibu-ibu ini semua adalah ibu saya.
“Di bulan mulia Ramadan ini saya rasa ibu tunggal ini tiada suami pastinya memerlukan sokongan hidup daripada anak dan orang-orang yang ingin menyampaikan.
“Jadi saya mahu menjadi sebilangan daripada orang yang nak menyampaikan itu,” katanya.
Awie berkata, ini adalah masa dan peluang untuknya menyumbang kepada golongan memerlukan dan mungkin satu hari nanti dia pula memerlukan bantuan.
“Saya pun tak tahu ini masa ibu-ibu semua, nanti masa bapa-bapa seperti saya pula akan sampai
“Kita tidak sentiasa duduk di atas langit selamanya, sekali-sekali kita akan tergolek ke bawah juga dan saya bersyukur kerana dapat menjadi seorang penyampai (sumbangan) daripada syarikat Jakel ini kepada ibu-ibu tunggal,” katanya.
Beliau turut berima kasih kepada Sayap-Sayap Wings, Rumah Produksi Merah, Awie Entertainment, Wings Motor Gang Society dan kumpulan Wings sendiri namun ahli yang lain tidak dapat hadir.
“Saya mewakili semua pihak untuk menyampaikan sumbangan ini, saya rasa tidak ada apa lagi dah..saya kalau cakap lama saya sebak saya sensitif sedikit mudah meremang bulu roma,” katanya. – Malaysiapost

