Kapten Corner terus beroperasi walau Kapten Azrin membelah ‘awan biru’

0
3

Nurul Huda Abhar

BIARPUN kini sudah kembali terbang ke awan biru, gerai Kapten Corner milik Azrin Mohamad Zawawi, 45, tetap beroperasi ketika bulan Ramadan ini.

Azrin yang berpengalaman lebih 20 tahun sebagai juruterbang memberitahu telah kembali berkhidmat di Malindo Airways Sdn Bhd (Malindo Air) sejak Disember tahun lalu.

“Ya, Saya sudah kembali bekerja sejak bulan Disember lalu. Saya kini bertugas di Malindo Air,” katanya kepada Malaysiapost.

Bagaimanapun, Azrin berkata, gerai Kapten Corner miliknya akan beroperasi seperti biasa sepanjang Ramadan ini dan diuruskan oleh ahli keluarga.

Beliau yang baru memulakan Kapten Corner sejak Oktober tahun lalu, memberitahu akan beroperasi di tapak yang sama iaitu di Boom Town Cafe, Subang Jaya.

“Saya meniaga di tempat sama di Boom Town USJ 11. Alhamdulillah kami sekeluarga berasa gembira dan bersyukur pada tahun ini dapat berniaga di bulan Ramadan.

“Peluang ini juga dapatlah kami tambah pendapatan sikit bagi menyambut Aidilfitri nanti,” katanya yang berada di Jakarta, ketika dihubungi.

Beliau antara kakitangan sebuah syarikat penerbangan yang diberhentikan tugas pada tahun lalu ekoran industri tersebut terkesan akibat wabak Covid-19.

Meskipun berpengalaman luas dan pernah berkhidmat di tiga syarikat penerbangan termasuk berpangkalan di Indonesia, Azrin terpaksa akur melepaskan tugas terakhir sebagai tenaga pengajar kepada pelatih juruterbang ketika itu.

Demi kelangsungan hidup, beliau membuka Kapten Corner dan menjadi tular apabila muncul dengan seragam lengkap termasuk topi, lencana dan paling utama pangkat ‘empat bar’ di bahu.

Malah, kisah Azrin turut menarik perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk singgah ke gerai miliknya. – Malaysiapost

.
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2020/11/19/pemilik-kapten-corner-percaya-akan-kembali-ke-awan-biru/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here