SUSPEK yang dipercayai membelasah dan mengacu pistol kepada pengawal peribadinya hanya kerana berpuasa memohon maaf kepada semua umat Islam di negara ini.
Lelaki berusia 43 tahun itu sempat menyatakan permohonan maaf kepada pihak media ketika dia dibawa oleh dua anggota polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi hari ini.
“Sekiranya apa yang saya katakan kepada pengawal peribadi saya menyinggung perasaan sesiapa, saya rasa saya harus minta maaf kepada semua umat Islam di negara ini, kepada Yang di-Pertuan Agong dan dua pengawal peribadi saya.
“Bagaimanapun saya tidak bermaksud menghina sesiapa dengan apa yang saya katakan,” katanya dalam bahasa Mandarin.
Video permintaan maaf itu disiarkan The Star dan dia kemudian dibawa menaiki sebuah kereta polis dipercayai untuk diserahkan ke IPD Klang Selatan untuk siasatan lanjut selepas tempoh remannya di IPD Dang Wangi tamat hari ini.
Suspek adalah eorang daripada lima individu yang direman oleh pihak polis bagi membantu siasatan kes dua pengawal peribadi dibelasah dan diacu pistol oleh majikannya di sebuah rumah di Batu Nilam, Klang pada 13 April lalu.
Susulan laporan polis dibuat mangsa polis menahan lima suspek dan merampas 100 kilogram emas serta mata wang Dollar Amerika keseluruhannya dianggar bernilai RM28.45 juta.
Rampasan itu turut membongkar kegiatan sindiket Along dab judi haram dijalankan syarikat milik majikan terbabit.
Pihak polis turut merampas sepucuk pistol dan 10 butir peluru serta rotan yang digunakan untuk memukul kedua-dua mangsa.
Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 324, 298, dan 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951. – Malaysiapost

