Video raya judi : Ancaman baru meracuni belia Islam – Belia 4B

0
2

VIDEO klip raya yang mempromosikan perjudian atas talian adalah usaha jahat terkini pihak tertentu dalam memesong dan mengelirukan akidah umat Islam, kata Pengerusi Dakwah Gerakan Belia 4B Malaysia, Banyamin Rabiee. 


Menurutnya, pihaknya memandang serius tentang ancaman baharu itu yang cuba meracuni pemikiran anak muda terutama belia Islam di Malaysia. 


“Gerakan Belia 4B Malaysia mengutuk dan menentang sekeras-kerasnya sebarang bentuk promosi terhadap aktiviti perjudian secara total di Malaysia biar apa pun nama dan kaedahnya.


“Tindakan syarikat judi yang cuba menyemai idea bahawa masalah kewangan, terutamanya untuk menyambut lebaran boleh diselesaikan dengan berjudi, membawa niat jahat dan sangat mengelirukan anak muda,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.


Memetik ayat ke-90 Surah al-Ma’idah, Banyamin menyeru umat Islam wajib berpandukan kepada ayat al-Quran itu yang menegaskan larangan berjudi kerana ia amalan keji daripada perbuatan syaitan.


“Maka, Gerakan Belia 4B Malaysia menyeru sekalian anak muda di luar sana agar tidak terpengaruh dengan sebarang aktiviti perjudian biar apapun namanya supaya kita terpelihara daripada azab dan malapetaka yang dijanjikan Allah SWT di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat nanti.


“Sesungguhnya, desakan hidup bukanlah alasan untuk kita mencuba-cuba jenayah judi dan sebarang bentuk perjudian era baru. Berusahalah serta berdoalah dengan hati yang ikhlas agar segala urusan kita dipermudahkan, Insyallah,” katanya


Justeru, Banyamin berkata, Gerakan Belia 4B Malaysia juga menyeru sekalian anak muda Malaysia untuk menzahirkan tentangan secara besar-besaran dan mendesak agar pihak berkuasa dan semua badan bertanggungjawab mengambil peranan supaya kejadian sedemikian tidak akan berulang lagi.


Terdahulu,  tular dua buah video  iklan mengajak umat Islam mencari jalan penyelesaian mudah dengan  berjudi bagi mendapatkan dana untuk balik ke kampung dan menyambut Hari Raya.


Dalam iklan berdurasi 2 minit 29 saat itu memaparkan seorang pemuda lelaki yang sedih tidak boleh pulang ke kampung kerana kekurangan wang, dan gembira mendapat wang yang banyak setelah berjudi di GDBET333.


Manakala satu lagi iklan berdurasi 3 minit 19 saat itu, bertajuk IBC003 ‘Hari Raya Berkaya’ memaparkan watak lelaki yang berada di kawasan lain dalam perjalanan pulang ke rumah menaiki motosikal untuk meraikan hari raya.


Berdasarkan klip video itu, iklan terbabit dipercayai dikeluarkan sebuah syarikat judi dalam talian, mengajak orang ramai menggunakan perkhidmatannya untuk meraih wang berganda.
Antara bait lirik dalam iklan terbabit: ‘Oh diri sedang mencuba di IBC003, aku pun mahu juga IBC003, manalah tahu berjaya, hari raya kita kaya, bersama kita raikan, bila ada kemenangan IBC003, hari raya bahagia’. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here