Syed Saddiq mahu KPI menteri PN diumumkan

0
2

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Indeks Prestasi (KPI) setiap menteri khususnya yang bertanggungjawab berkaitan Covid-19.

Beliau berkata, sehingga hari ini, kerajaan PN bergerak tanpa meletakkan sebarang bentuk KPI untuk rakyat menilai dan memantau pencapaian mereka.

“Contohnya dalam hal Covid-19. Kerajaan PN sepatutnya umum apakah KPI atau prestasi yang kerajaan akan capai.

“Selepas umum darurat, PKP 2.0, kita masih tidak merasa perubahan yang baik kepada jumlah kes Covid-19. Malah, Menteri umum pula akan ada gelombang keempat.

“Selepas PKP2.0, apakah prestasi kita? Apa yang Menteri Kesihatan sudah buat dan capai? Apa yang Timbalan-Timbalan Menteri Kesihatan laksanakan sampai berkesan? Apa yang Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bertanggungjawab kepada Majlis Keselamatan Negara dah berjaya siapkan?,” katanya menerusi Facebook.

Jelasnya, semua perkara ini tidak pernah diumumkan, namun prestasi dan pencapaian setiap orang adalah hal yang normal dilakukan di mana-mana organisasi.

“Jadi, Menteri-Menteri pun harus ada KPI (yang mereka harus umum). KPI yang pernah kerajaan umumkan adalah perlaksanaan vaksinasi sehingga 80 peratus jumlah populasi negara kita.

“Jika ada pengumuman KPI sebegini, barulah rakyat boleh nilai prestasi menteri dan kerajaan PN. Kalau Menteri Ismail Sabri hanya mahu umum akan ada gelombang keempat Covid-19, ini bukan agenda bergerak ke hadapan yang rakyat mahu dan pinta,” ujarnya.

Syed Saddiq berkata, kerajaan PN lebih gemar untuk memposisikan peranan mereka hanya sebagai ‘tukang umum’ kepada kes-kes berkaitan Covid-19 termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Iaitu dalam hal Covid-19, kerajaan PN akan umum jumlah kes setiap hari. Umum jumlah kluster baru dan lama. Umum PKP, PKPB, PKPD. Macam-macam umum.

“Terbaru, Menteri Ismail Sabri umum akan ada gelombang keempat Covid-19. Tapi, apa yang lebih penting untuk kerajaan PN lakukan adalah umumkan KPI setiap menteri yang bertanggungjawab dalam hal Covid-19.

“Jangan hanya jadi ‘tukang umum’ tetapi prestasi dan pencapaian pun tidak pernah dinilai,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here