SEJUMLAH 115 ekor kura-kura pelbagai spesies dilindungi berjaya dirampas oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Muadzam Shah, Pahang, semalam.

Menurut kenyataan Perhilitan di Facebook, pihaknya merampas haiwan berkenaan yang terdiri daripada kura-kura Telinga Merah, kura-kura Katup dan kura-kura Kolam, dalam satu pemeriksaan penguatkuasaan yang dijalankan ke atas sebuah kenderaan.
“Kesemua spesies kura-kura itu disimpan tanpa sebarang kebenaran yang sah oleh Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia.
“Justeru, selain rampasan, operasi ini turut menahan dua orang suspek warga tempatan bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pihaknya telah membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bahagia, Muadzam Shah, Pahang.
“Bagaimanapun, kedua-dua suspek telah direman di Ibu Pejabat Polis Rompin, Pahang.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan kesemua barang rampasan telah dibawa ke Jabatan Perhilitan Pahang untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/03/30/13-burung-spesies-dilindungi-berjaya-dirampas-perhilitan/

