GENAP tiga bulan negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali kedua dan perintah darurat namun kedua-dua langkah itu dilihat gagal menghalang penularan Covid-19.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan keberkesanan langkah diambil oleh kerajaan bermula 13 Januari lalu.
“Apakah ia berkesan? Adakah perlaksanaan darurat berjaya menghentikan penularan Covid-19?
“Ini rekod semalam:
Jumlah kes baru: 1,767
Jumlah kes aktif: 16,300
Jumlah pesakit dalam ICU: 199
Kematian baru: 12
Kluster baru dikesan: 9.
“Malah, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt diberi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga naik lagi ke 1.09 (di atas paras neutral 1.00) semalam – iaitu petunjuk bahawa jumlah jangkitan baru adalah dalam trend menaik,” katanya.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, keadaan berkenaan jelas membuktikan bahawa perlaksanaan darurat tidak berjaya menghentikan penularan Covid dan harapan mencapai sasaran jumlah kes turun ke dua angka pada bulan Mei semakin malap.
“Adalah kesilapan besar apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) degil untuk melaksanakan PKP yang singkat tapi amat ketat tanpa kelonggaran tetapi pilih untuk buat PKP separuh masak dengan segala kelonggaran bagi kilang-kilang, Ikea, shopping mall, Victoria’s Secret, kedai emas dan sebagainya pula pada permulaan PKP 2.0,” sindirnya.
Najib berkata, akibatnya kini kebenaran untuk merentas negeri sempena Aidilfitri semakin menjadi tanda tanya besar. – Malaysiapost

