PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan artikel bertajuk ‘Amanat Ahmad Zahid Hamidi untuk semua ahli Umno’ yang tersebar di media sosial sejak semalam adalah penulisannya.
Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, artikel panjang lebar kononnya dia sebagai Presiden UMNO memberikan amanat kepada ahli parti serta akar umbi berhubung perancangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk terus berkuasa.
Beliau berkata, artikel itu juga menyebut bahawa pelbagai serangan telah diberikan ke atas dirinya, tindakan Ahli Parlimen melompat parti, penyalahgunaan kuasa, perpaduan ummah, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta pelbagai intipati lain.
“Ingin saya menegaskan bahawa artikel itu tidak ditulis oleh saya mahupun dengan kebenaran saya tetapi dilakukan oleh orang lain yang tidak diketahui individu berkenaan.
“Saya menyedari saban hari pelbagai fitnah dilakukan pihak tertentu bagi mengkucar-kacirkan situasi politik semasa serta memburuk-burukkan Umno.
“Saya berharap pihak yang melakukan perkara ini menghentikan segera perbuatan politik jahat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid berharap Ramadan kali ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan amal ibadah bukannya menabur fitnah serta mengamalkan politik tidak matang.
“Saya menyarankan semua pihak yang mahu mendapatkan kenyataan rasmi daripada saya boleh meninjau melalui Facebook ini dan juga Telegram saya.
“Semoga semua daripada kita diberkati Allah SWT dan diterima segala amal kebaikan. Salam Ramadan almubarak,” katanya.
Terdahulu tular satu artikel didakwa sebagai amanat Presiden Umno kepada semua ahli antaranya meminta supaya ahli Umno berwaspada dengan permainan politik Bersatu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa. – Malaysiapost

