“RONNIE Liu tidak mewakili saya. DAP yang Ronnie mahu bukan DAP yang saya sertai, kata Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.
Beliau berkata demikian bagi menyatakan rasa tidak setuju terhadap Ronnie, anggota jawatankuasa pusat DAP berhubung kenyataannya bahawa parti tidak boleh dibataskan hanya untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.
Antara lain Ronnie dilaporkan berkata yang DAP adalah untuk semua rakyat Malaysia dan ia perlu bekerjasama dengan parti-parti Melayu lain, tetapi tidak boleh menjatuhkan maruah atau menggambarkan DAP sebagai parti bukan Cina.
Berikutan itu, Hannah yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata dirinya menyertai DAP kerana parti itu mempertahankan semua rakyat Malaysia.
“Saya tidak setuju dengan ucapan beliau. Apa budaya parti? Apa maksud mencairkan kecinaannya? Bukankah ini pemikiran sempit dan toksik?
“Pengalaman saya dengan DAP mungkin lebih pendek berbanding penglibatan Ronnie tetapi saya nak katakan di sini bahawa pengalaman dan perjuangan saya di dalam DAP tidak sama sekali dengan kata-kata beliau. Cukuplah Ronnie.
“Semasa kami (Pakatan Harapan) berada di Putrajaya, saya hanya dapat mengingati Ronnie berterusan di Facebooknya mendesak Tun M (Dr Mahathir Mohamad) mengundurkan diri dan menyerahkan kepada Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya.
Menurut Hannah, ketika menjadi kerajaan, anggota Kabinet PH mempunyai masa sukar untuk melunas tanggungjawab di portfolio masing-masing, tetapi kenyataan tidak produktif oleh Adun serta pemimpin Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) seperti Ronnie tidak membantu.
Katanya, semua orang termasuk Dr Mahathir, Anwar, Ronnie dan termasuk juga beliau mesti turut sama memikul tanggungjawab dalam kejatuhan kerajaan PH.
“Kepimpinan yang bertanggungjawab menuntut kita untuk memeriksa diri sendiri. Bagi Ronnie, Tun M tidak boleh melakukan apa-apa. Bagi Ronnie, Anwar tidak boleh melakukan kesalahan.
“Saya telah lama berhenti mendengar Ronnie. Tetapi kali ini saya tidak boleh berdiam diri kerana dia telah melakukan keburukan besar kepada banyak pemimpin DAP yang bekerja keras untuk melawan prasangka dan stigma terhadap DAP.
Ronnie tidak mewakili saya. Ronnie tidak bercakap untuk saya,” katanya lagi.
Foto Kredit: The Mole

