PENUMPANG yang terjejas oleh gangguan perkhidmatan Rapid KL semalam akan ditawarkan kupon bayaran balik yang boleh dituntut di semua kaunter tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Ampang dan Sri Petaling.

Rapid KL dalam kenyataan berkata, bagi mengurangkan impak gangguan berkenaan, pihaknya telah menyediakan perkhidmatan bas perantara di samping meneruskan perjalanan tren menggunakan landasan yang tidak terjejas oleh kejadian ribut berkenaan.
Kenyataan itu juga memohon maaf atas gangguan perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling petang semalam, berpunca daripada 13 pokok tumbang dan menimpa trek sekitar Stesen Maluri, Pandan Jaya, Chan Sow Lin dan Cheras, yang terletak di atas tanah (at grid).
“Bermula pada 6.39 petang (semalam), gangguan perkhidmatan yang berlaku dalam keadaan hujan dan cuaca tidak menentu itu menyebabkan beberapa tren terkandas di atas trek.
“Ia sekali gus memerlukan kerja mengeluar dan menyelamatkan penumpang yang terpaksa dilakukan secara berhati-hati kerana keadaan tanah licin dan berbecak di samping risiko panahan petir.
“Rapid KL memohon maaf atas gangguan perkhidmatan ini dan kesulitan terpaksa dihadapi pelanggan kami akibat gangguan berkenaan,” kata kenyataan itu.
Rapid KL berkata kerja-kerja mengeluar dan memindahkan penumpang mengambil masa lebih lama daripada biasa atas sebab-sebab keselamatan kerana risiko yang dibawa oleh angin ribut, hujan dan petir pada masa itu.

“Kerja mengeluar dan memindahkan penumpang selesai pada jam 10.20 malam. Namun, pembersihan trek dan pemeriksaan bagi memastikan trek selamat berjalan sepanjang malam,” kata kenyataan itu lagi.
Terdahulu, ratusan penumpang terperangkap selepas beberapa tren LRT terkandas akibat pokok tumbang membabitkan tren Laluan Ampang/Sri Petaling, petang semalam.
Kejadian itu menyebabkan perjalanan tren daripada kedua-dua arah terpaksa dihentikan untuk keselamatan dan kerja-kerja menyelamat serta pembersihan.
Tular beberapa keping gambar di media sosial di mana penumpang terpaksa menunggu dan bersesak dalam tren yang terkandas ekoran kejadian ribut, semalam. – Malaysiapost
Foto Kredit: Bomba KL

