DATUK Seri Najib Razak semalam bertanya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dari mana kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempunyai lebih RM600 bilion untuk melawan pendemik Covid-19.
Ahli Parlimen Pekan itu mengulas kenyataan Muhyiddin semalam yang menyatakan kerajaan sekarang sudah tiada banyak wang yang tinggal seperti dahulu kerana banyak telah dibelanja untuk mengekang Covid-19.
“Sebelum PRU14, dia (Muhyiddin) dan kawan-kawan dia juga yang asyik ratib negara sudah bankrap bawah Najib sebab hutang negara naik RM300 bilion dalam tempoh sembilan tahun (tapi jumlah aset negara naik RM1.2 trilion dari RM800b ke RM2 trilion pada akhir tahun 2017).
“Dari mana datangnya RM600 bilion itu untuk PN belanja? Bukan Pakatan Harapan (PH) yang simpan sebab defisit serta hutang negara naik lagi tinggi masa rejim PH.
“Rupanya kerajaan pada masa PN mula memerintah masih ada banyak duit untuk PN belanja lebih RM600 bilion sejak setahun dahulu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Mengulas lanjut Najib berkata selepas PRU14 pula, hutang negara juga naik RM300 bilion tetapi jumlah nilai aset turut jatuh.
“Jadi jangan lagi sesiapa yang masih nak fitnah saya dan BN telah bankrapkan negara.
Realitinya ialah kerajaan BN dalam tempoh sembilan tahun saya PM telah menjaga ekonomi dengan amat baik,” katanya.
Antara pencapaian tersebut kata Najib, kadar pertumbuhan ekonomi tinggi, kadar pelaburan asing paling tinggi dalam sejarah serta paling tinggi di ASEAN pada 2017, selain pembangunan infrastruktur seluruh Malaysia dan bantuan rakyat yang semakin naik setiap tahun.
Terdahulu bercakap kepada masyarakat Sikh sempena sambutan perayaan Vaisakhi di Petaling Jaya semalam, Malaysiakini melaporkan Muhyiddin berkata kerajaan telah membelanjakan banyak wang iaitu RM600 bilion dalam Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat Covid-19.
“Sudah banyak kita belanjakan wang tahun ni, tahun lepas. Apa sebab? Covid-19. RM340 bilion untuk pakej-pakej rangsangan, RM322 bilion untuk belanjawan,” kata Perdana Menteri. – Malaysiapost

