“KEPADA geng plastik hitam tinggalkanlah plastik hitam anda. Jangan lupa bayar fidyah untuk tahun sebelumnya,” demikian nasihat Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada mereka yang culas berpuasa.
Menurutnya, kedatangan Ramadan bukan sahaja mewajibkan umat Islam berpuasa dan menunaikan Rukun Islam ketiga itu, malah mesti dirai dengan melipat-gandakan amalan ibadat kepada Allah.
“Ini masa untuk kita beramal ibadat. Kita sudah kesuntukan masa dan tingkatkan amalan kita. Semoga ia menjadi bekalan untuk bertemu Allah SWT kelak.
“Semoga kedatangan Ramadan kali ini membawa erti bermakna dan lebih baik berbanding tahun terdahulu. Ayuh, malam ini kita solat terawih. Selamat menyambut Ramadan al-Mubarak,” katanya di Facebook, hari ini.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berharap Ramadan kali ini akan menjadi madrasah melahirkan graduan-graduan yang beriman dan bertakwa kepada Allah.
“Berpuasalah dengan menahan diri dari perkara dilarang Allah walau ia dihalalkan seperti makan minum dan ‘bersama’ isteri.
“Lebih baik lagi dengan menahan diri dari maksiat dan sifat mazmumah seperti sombong riak takabur ujub.
“Paling penting jadikan ibadah puasa untuk mengajar kita sentiasa menahan diri dari mengingati dunia dan mengingati selain Allah Yang Maha Esa,” katanya.
Umat Islam dijangka berpuasa esok yang bermulanya 1 Ramadan.
“Selamat berpuasa dari saya dan keluarga. Ramadan Kareem,” ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi. – Malaysiapost
Artikel berkaitan”
https://malaysiapost.com.my/2021/04/11/71-port-geng-plastik-hitam-dipantau/

