Premis menjual makanan dibenarkan buka hingga 6 pagi

0
1
Orang ramai mula makan di dalam restoran di sekitar Kuala Lumpur, selepas kerajaan membenarkan pelanggan untuk makan di dalam premis makanan bermula hari ini. Peraturan itu terhad kepada dua pelanggan di sebuah meja dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

KERISAUAN golongan bujang untuk bersahur terlerai apabila kerajaan membenarkan premis menjual makanan beroperasi sehingga jam 6 pagi sepanjang Ramadan ini.

Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu hanya terpakai sepanjang Ramadan sahaja.

“Selepas mengambil kira semua pandangan, selepas mengambil kira kesukaran orang bujang, maka kerajaan bersetuju semua restoran, warung, kafe hotel dibenarkan beroperasi sehingga selesai waktu sahur iaitu pada jam 6 pagi,” katanya ketika sidang media khas, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan juga membenarkan majlis berbuka puasa dan bufet Ramadan diadakan sepanjang bulan mulia ini dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Majlis berbuka puasa tentu banyak organisasi, kementerian atau agensi kerajaan diadakan, begitu juga bufet Ramadan di hotel, kerajaan bersetuju benarkan diadakan dengan SOP yang dikenakan.

“Kita membenarkan majlis berbuka puasa dan bufet Ramadan dengan syarat ada penjarakan sosial ketika makan dan jarak meja itu dalam dua meter.

“Begitu juga jumlah kehadiran pada majlis itu tertakluk pada SOP dewan atau ruang itu berdasarkan status negeri. Kalau PKPP ialah 100 peratus boleh, manakala PKPB 50 peratus daripada jumlah maksimum dibenarkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here