KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengambil langkah pro aktif untuk menyekat kes Covid-19 daripada terus melonjak di Sarawak.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata sejak awal Januari tahun ini, Sarawak mencatatkan 39 kluster komuniti dengan 21 daripadanya berpunca daripada perjumpaan sosial dan 17 kluster aktif membabitkan tempat kerja.
Dr Adham berkata, KKM akan mengadakan mesyuarat khas dengan pegawai kesihatan dan pengarah hospital di Sarawak hari ini untuk membincangkan situasi terkini Covid-19.
“Sejak 9 Januari, jumlah kes positif di Sarawak menunjukkan trend peningkatan. Kita perlu memastikan bantuan disediakan dan Sarawak boleh menguruskan penularan virus,” katanya dipetik FMT.
Menurut Dr Adham, kadar kebolehjangkitan virus, atau R-naught (R0), di seluruh negara kini pada nilai 1.06, walaupun sebelum ini KKM meramalkan jumlah kes harian akan menurun kepada purata 500 kes menjelang pertengahan Mei.
Kata beliau, jumlah kes harian ketika ini “tidak menggalakkan” dan beliau mengaitkannya dengan kekurangan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Dr Adham turut mengumumkan hospital swasta kini boleh mendaftar untuk menyertai fasa kedua dan ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan melalui www.protecthealth.com.my. – Malaysiapost

