Kongsi rezeki melalui bank makanan

0
2

PANDEMIK Covid-19 yang melanda negara sejak lebih setahun lalu ternyata memberi kesan kepada pelbagai pihak terutama dari segi ekonomi hingga ada yang sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Namun masih ramai rakyat Malaysia prihatin dengan nasib golongan yang memerlukan dan tampil menghulurkan bantuan melalui pelbagai kaedah.

Bagi rangkaian kedai filem penapis haba UV Kool Tint milik TMK Industries yang mempunyai 26 cawangan seluruh negara, bantuan disalurkan melalui penyediaan bank makanan (food bank).

Pengarah Urusannya, Mohd Fadzli Che Harun berkata inisiatif itu dilaksanakan sebagai satu cara untuk berkongsi rezeki dalam membantu golongan memerlukan.

Menurutnya, bank makanan sebelum ini banyak disediakan sama ada di masjid, pusat kebajikan, pusat komuniti dan sebagainya namun jarang disediakan pihak swasta terutama di premis perniagaan.

“Disebabkan itu kami mewujudkan bank makanan ini di 26 cawangan kami untuk membantu golongan memerlukan dengan cuba memastikan setidak-tidaknya setiap golongan kurang berkemampuan dapat mengisi perut agar tidak berlapar.

“Bank makanan ini akan dilengkapkan dengan barangan keperluan asas dan mereka boleh datang untuk mengambil bantuan ini,” katanya selepas Majlis Pelancaran Food Bank UV Kool Tint di Putrajaya semalam.

Pada majlis itu, Mohd Fadzli menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada 20 asnaf terpilih.

Mohd Fadzli berkata, bank makanan itu kini sedang disediakan secara berperingkat di semua cawangannya.

Katanya, walaupun rangkaian itu baru berkembang, pihaknya tetap komited dalam membantu golongan yang terkesan sepanjang pandemik Covid-19.

Mohd Fadzli berharap program khidmat masyarakat itu sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan dan perkembangan terkini mengenainya akan disalurkan menerusi laman web www.uvkool.com. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here