Nurul Huda Abhar
PIHAK atau parti lain tidak perlu cuba untuk menangguk di air keruh berkaitan isu tular klip audio didakwa perbualan antara Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamdi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan berkata, tidak perlu ada campur tangan pihak luar kerana Umno tahu menguruskan isunya sendiri.
“Selesai program #SYT tadi, media bertanya pelbagai soalan berkenaan program – tetapi juga berkenaan isu audio yang tular dan menimbulkan polemik.
“Menghormati arahan dan keputusan Mesyuarat Pengurusan tempoh hari bahawa buat masa ini kenyataan rasmi hanya dikeluarkan Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung, saya hanya komen ringkas kepada pemberita.
“Tuan tubuh sudah menafikan bahawa perbualan itu sahih,” kata beliau dalam hantaran di laman Facabook.
Rabu lalu, klip audio perbualan yang dikatakan seakan-akan Anwar dan Ahmad Zahid berdurasi lebih 4 minit tular di media sosial.
Menerusi perbualan tersebut, Presiden PKR dan Presiden Umno itu sangat mesra dan kedua-duanya saling bertukar pandangan berhubung ucapan perwakilan semasa Persidangan Agung Umno (PAU) 2020.
Susulan itu, Ahmad Zahid menafikan wujud perbualan antara Anwar sebagaimana dalam audio rakaman yang tular di media sosial.
Sementara itu, Shahril berkata, berkenaan isu laporan polis telah dimaklumkan bahawa sudah ada beberapa laporan dibuat dan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, mengesahkan kertas siasatan dibuka ekoran laporan tersebut.
“Maka biarlah polis laksanakan kerja siasatan dahulu,” kata beliau. – Malaysiapost

