“SAYA berpandangan kedudukan Zahid sebagai Presiden Umno kini bertambah goyah. Kedudukan beliau sangat goyah,” kata Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.
Bekas Ketua Pemuda Umno itu membuat kenyataan berkenaan mengulas isu rakaman perbualan telefon yang tular didakwa antara Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Khairy berkata, rakaman audio perbualan itu menyebabkan ramai individu dalam Umno tidak selesa, khususnya terhadap kandungan perbualan berkenaan.
“Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno perlu segera bersidang dan membincangkan perkara itu serta memberi mandat kepada ahli Umno untuk menentukan barisan kepemimpinan baharu dengan melaksanakan pemilihan parti secepat mungkin.
“Ia langkah terbaik untuk Umno adalah mengadakan pemilihan parti sekarang,” katanya.
Terdahulu, menerusi audio yang tular kelmarin itu, kedengaran suara seperti Anwar memuji Ahmad Zahid mengenai cara presiden Umno itu mengendalikan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 yang berlangsung baru-baru ini.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menafikan sekeras-kerasnya audio yang didakwa perbualan antara dirinya dengan Anwar itu, berkata beliau ‘amat kecewa dan terkejut’ dengan tuduhan itu.
Presiden Umno itu juga mendakwa dirinya menjadi mangsa politik jahat untuk melemahkan atau memusnahkan Umno
Selepas penafian dibuat Ahmad Zahid, Anwar juga turut mengambil langkah sama dengan menafikan perkara itu. – Malaysiapost

