PKPD: 2 lokaliti di Johor Bahru tamat, 2 daerah di Sabah mula esok

0
1

Nilam Oshman

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Lokap Tahanan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Lokap PATI, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru, Johor ditamatkan esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan sebelum ini melaksanakan PKPD di kedua-dua kawasan terbabit yang dijadualkan tamat 10 April 2021.

Katanya, sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 83 ujian saringan di Lokap PATI KDN dan daripada jumlah itu, sebanyak 61 kes positif Covid-19 direkodkan.

“Manakala, di Lokap PATI JIM, KKM telah melaksanakan 53 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatifnya sebanyak 51 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“Justeru, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Lokap Tahanan PATI Kompleks KDN Setia Tropika dan Lokap Tahanan PATI JIM, Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru, pada 10 April 2021 seperti yang dijadualkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan PKPD di Kampung Gayang, Tuaran dan Institut Latihan Perindustrian (ILP), Taman Permata serta Taman Seri Labuk, Sandakan, Sabah bermula esok hingga 23 April ini.

Beliau berkata, KKM hari ini melaporkan situasi kes Covid-19 di Kampung Gayang, Tuaran, Sabah dengan lima kes positif dikesan.

“Sehingga kini, KKM melakukan 38 ujian saringan di kawasan terbabit dan daripada jumlah itu sebanyak lima kes positif Covid-19 direkodkan.

“Manakala, sebanyak 88 ujian saringan dilakukan di ILP dan daripada jumlah itu, secara kumulatifnya sebanyak tujuh kes positif Covid-19 direkodkan.

“KKM juga telah melaksanakan sembilan ujian saringan di Taman Permata dan sebanyak lima kes positif direkodkan manakala lima kes juga dilaporkan di Taman Seri Labuk hasil daripada enam ujian saringan,” katanya.

Beliau berkata, KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di semua lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

“Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah PKPD di Kampung Gayang, Tuaran dan ILP, Taman Permata dan Taman Seri Labuk di Sandakan, Sabah bermula 10 April sehingga 23 April 2021,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here